Sunday, September 25, 2011
Yang Mana Keutamaan Kita?
Rasulullah mengambil masa 13 tahun untuk mendidik iman dan taqwa para sahabat. Setelah 10 tahun kemudian barulah baginda merancang pembangunan negara Islam kecil yakni Madinah. Dibangunkan sekolah sebagai kilang mengeluarkan ilmuan yang bertaqwa, penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangunkan ekonomi dengan membuka pasar Ansar dengan pengurusnya Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya 3/4 isi dunia menyerah diri pada Islam. Itulah cara memperjuangkan Islam yang dibuat oleh Rasulullah. Dan itulah satu-satunya cara yang benar dan tepat. Habis keriapa kita tidak mahu mencontohinya? Kenapa kita ada pandangan yang sangat menyimpang dari apa yang dibuat oleh Rasulullah? Konon waqi’ tidak apa, sedangkan Rasulullah pernah ditawar untuk jadi raja baginda menolaknya sebab bukan cara itu mendidik umat dan itu bukanlah cara yang tepat untuk memulakan satu perjuangan. Bukan melalui istana atau melalui kerusi Perdana Menteri atau menteri-menteri lain, sedangkan umumnya rakyat jelata masih belum bersedia untuk tunduk pada hukum-hukum Allah yang terlalu asing buat mereka.
Tetapi kita tidak buat begitu. Kita hentam kerajaan umat Islam di dunia hari ini dari belakang, kita hina dan buruk-burukkan hingga terpecahlah umat Islam kepada dua kumpulan besar. Alangkah bahayanya perbuatan ini. Tetapi kita tidak terfikir pun begitu. Kita berebut juga kerusi kerana ingin ambil alih tampuk pemerintahan. Walhal sikap kitalah yang sebenarnya sangat bahaya untuk politik, perpaduan ummah serta keseluruhan umat dalam sesebuah negara. Tidak mengapa juga kalau perjuangan kita itu benar-benar membawa umat yang cinta Islam itu kepada cara hidup Islam. Tetapi jelasnya tidak begitu. Kita tidak didik mereka dengan iman dan taqwa, dengan akhlak mulia, dengan kerja-kerja menegakkan cara hidup Islam dan dengan sistem pentadbiran dan politik yang tepat dengan Islam. Kita hanya bakar semangat politik pilihanraya yang mencerca dan memfitnah satu sama lain. Kemudian kita lagakan mereka sekampung. Hancui berkecai perpaduan umat. Kemudian kita syarahkan perpaduan ummah, negara Islam, dunia Islam. Bila orang tanya mana dia Islam itu? Tunggu! Tunggu hingga kita dapat kuasa memerintah negara. Alangkah kejamnya perjuangan kita itu. Kita bohongi masyarakat konon Islam tidak boleh bangun tanpa kuasa. Padahal sebenarnya macam-macam boleh dibuat tanpa kuasa. Hingga kerana itu terbiarlah rakyat dari hari ke hari, hidup dalam cara hidup yang tidak menentu. Agamanya Islam tetapi hidupnya tidak macam orang Islam yang hakiki. Sampai bila hal ini mahu kita pertahankan?
Kalau benar kita berjuang bagi pihak Allah, tentu kita dapat jadi contoh kepada umat, yakni Islam itu terserlah pada diri dan kehidupan serta dalam jemaah kita. Tapi perjuangan kita ini, tidak begitu bentuknya. Kita jual nama Islam untuk memuaskan keinginan-keinginan pada pangkat dan kedudukan, pada kuasa dan negara. Konon di atas semua itulah Islam dapat ditegakkan. Walhal Islam hanya boleh hidup di atas peribadi yang kuat iman dan taqwa. Tapi iman dan taqwa tidak dapat tempat dalam majlis-majlis rasmi dan dalam kehidupan kita. Lalu tidak pelik kalau kita lihat pejuang Islam masih lagi berperangai buruk seperti ujub, riak, sombong, takabur, bakhil, gila dunia, hasad dengki, dendam, berburuk sangka, berkrisis sesama sendiri dan lain-lain. Kenapa salahkan musuh? Walhal kelemahan, kekalahan dan kegagalan kita adalah kerana salah kita, dosa-dosa kita, lemahnya iman dan taqwa kita hingga Allah tidak bantu kita, kerana tidak melaksanakan sungguh-sungguh ajaran Islam pada diri dan jemaah kita terlebih dahulu. Konon nanti dapat negara baru hendak laksanakan Islam itu, walhal kalau dalam jemaah yang kecil pun kita tidak dapat membangunkan ukhwah, pendidikan, ekonomi, budaya Islam, klinik dan lain-lain, apa bukti yang kita boleh melakukarnya dalam sebuah negara? Apakah dengan kuasa sahaja cukup untuk jinakkan hati manusia untuk tunduk pada Allah dan Rasul?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment