Wednesday, January 26, 2011

Dilema Pejuang

Dilema perjuangan Melayu atau Islam…
satu prajudis atau kenyataan?
Satu realiti atau ilusi?


Mari kita bicarakannya lewat puisi
Berwacana di persada kata nan indah
Merangkai minda disulaman madah
Agar bahangnya tidak begitu menyerlah
Agar dapat segalanya direnungi…
tanpa emosi berapi-api!


Pertama mari kita fikirkan…
Agama kita sama, syahadah kita serupa
Tapi mengapa mesti berpecah?

 
Kedua mari kita renungkan
Bangsa kita sama,  darah kita serupa
Tapi mengapa mesti bertelagah?


Darah dan syahadah boleh terpisah?
Justeru sepatutnya dengan keduanya
lebih mudah menyatukan kita
kerana agama dan bangsa kita sama
akidah kita Islam, kabilah kita Melayu…
tapi kenapa sukar untuk bersatu?

 
Dalam realitinya sungguh berbeza
Agama didakwa punca sengketa
cintakan Islam telah dipolitikkan
kononnya demi kepentingan kuasa dan kedudukan…
Islam disinonimkan dengan parti
Wajarkah begitu? 
 

Cintakan bangsa turut dipersalah
Kasihkan watan dituduh asabiah
Melayu dan Islam bagai bertentangan
Keduanya saling berkonflik
Islam menggugat semangat patriotik
Benarkah begitu?


Cintakan agama atau bangsa?
seolah-olah satu dilema
satu ke Timur satu ke Barat
tak mungkin tersatu dalam muafakat
benarkah itu satu hakikat
atau itu hanya satu muslihat?
Lain tersirat lain tersurat?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment