Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dengan pelbagai polemik politik dan ekonomi yang sedang melanda negara, memulihkan keyakinan rakyat terhadap barisan kepimpinan UMNO merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dipandang semberono. Kegagalan UMNO menangani krisis keyakinan terhadap barisan kepemimpinan di semua peringkat hanya akan mengundang kecelakaan yang lebih besar.
Apa yang pasti realiti politik hari ini sudah banyak berubah. Kalau dulu pengundi memilih parti tanpa begitu melihat siapa yang mewakili parti, namun hari ini walaupun parti masih lagi penting tetapi siapa yang mewakili parti itu lebih penting dan mendapat lebih perhatian oleh para pengundi.
Fenomena sebegini amat terkait dengan tahap pendidikan rakyat yang semakin meningkat dan realiti dunia hari ini yang tidak lagi mengenal erti sempadan dan batasan. Sebab itulah jika dilihat senario pilihan raya dan perkembangan parti-parti politik pembangkang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya amat menumpukan kepada program pengkaderan atau agenda mempersiapkan golongan pelapis yang terdiri daripada orang muda dan golongan profesional.
Seolah-olah mereka ingin menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa parti pembangkang sudah bersedia merubah imej baru dengan menampilkan barisan kepimpinan dan calon-calon parti yang terdiri daripada orang muda dan berpendidikan tinggi di samping pimpinan tradisional yang sedia ada dalam hirarki parti. Ini juga dilihat sebagai usaha meyakinkan pengundi bahawa calon parti pembangkang kini bukan sahaja berkebolehan tetapi juga berpengetahuan tinggi.
Perjuangan
Memang kesinambungan perjuangan mana-mana parti politik amat bergantung kepada sejauh mana keberkesanan program pengkaderan atau agenda mempersiapkan generasi pewaris kepimpinan. Sebaliknya kegagalan mempersiapkan generasi pelanjut perjuangan hanya akan mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.
Sebab itulah isu pemilihan kepimpinan UMNO kini menjadi tumpuan ramai. Rakyat hakikatnya sedang menilai sejauh mana UMNO mampu menampilkan pemimpin-pemimpin pewaris baru yang berkualiti sekaligus berkeupayaan menangani krisis keyakinan terhadap kepimpinan UMNO di semua peringkat.
Hakikat yang harus disedari secara objektif, rakyat hari ini semakin meluat dan cemuh dengan fenomena perebutan kuasa yang tampak semakin berleluasa di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat. Seolah-olah parti bukan lagi tempat untuk berbudi tapi wahana memperkaya diri.
Berlakunya sedemikian kerana amanah kepimpinan dan jawatan parti tidak lagi difahami sebagai satu taklif atau beban tanggungjawab tetapi ditanggapi sebagai tasyrif atau satu bentuk kemuliaan dan kemasyhuran. Penyimpangan pemikiran inilah yang akhirnya menyebabkan ramai sanggup membelanjakan wang yang banyak dan merasuah dalam pelbagai bentuk hanya untuk mendapatkan jawatan parti.
Ada juga yang menganggapnya sebagai satu bentuk pelaburan kerana jawatan parti adalah lesen besar bagi mendapatkan projek-projek yang boleh membawa pulangan berganda. Biasanya jika pemimpin sebegini yang terpilih, penumpuan tidak lagi untuk berbakti dan menabur budi tetapi lebih sibuk menjaja jawatan dan melobi projek bagi memperkayakan diri dan kroni.
Natijahnya pemimpin yang terpilih bukan lagi dinilai kepada kewibawaan ilmu dan ketrampilan peribadinya tetapi kepada berapa banyak wang yang telah ditaburnya. Sebab itulah orang bodoh hatta penyangak sekalipun boleh terpilih memegang jawatan parti kerana amanah parti sudah boleh dijual-beli. Budaya ini jika tidak dibendung akan menjadi barah yang mampu menghancurkan parti secara senyap.
Akhirnya golongan baru yang dipilih untuk mengurus urusan dan permasalahan rakyat bukan lagi di kalangan cerdik-pandai dan berkeperibadian tinggi tetapi golongan penyangak yang bankrap akhlak dan akal-budi. Inilah golongan yang diistilahkan Nabi SAW sebagai 'Al-Ruwaibidhoh' iaitu golongan yang tidak berkualiti tetapi diangkat untuk mengurus permasalahan umat.
Pengkhianat
Sabda baginda SAW: Sesungguhnya sebelum kiamat datangnya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu pendusta dianggap benar, sebaliknya yang jujur dikatakan dusta, pengkhianat dianggap amanah, manakala orang yang amanah dikatakan pengkhianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)." (Riwayat al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim)
Hakikat ini jugalah yang pernah diisyaratkan Rasulullah SAW. ketika bersabda bahawa apabila amanah sudah hilang, tunggu sahajalah saat keruntuhannya. Ketika ditanya sahabat bagaimana amanah boleh hilang, baginda menjawab: Apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak (riwayat Bukhari).
Apa yang dimaksudkan dengan kelayakan di sini tentulah bukan sekali-kali diukur kepada berapa banyak wang-ringgit yang ditaburnya. Atau berapa banyak pemberian hadiah seperti gelang magnetik yang diagih-agihkan di kalangan perwakilan. Sebaliknya kelayakan kepimpinan sebagaimana tuntutan Islam tentunya mengutamakan kekuatan agama, kewibawaan ilmu dan ketinggian akhlak peribadi yang akhirnya boleh menjadi tempat bergantung orang ramai.
Justeru, penulis amat berharap berlakunya perubahan dalam budaya pemilihan UMNO kali ini. Demi kelangsungan perjuangan parti, para perwakilan harus menggunakan kesempatan sepenuhnya untuk melakukan anjakan pemikiran dalam memilih pemimpin yang benar-benar berkualiti. Pada masa yang sama para perwakilan juga mesti bersedia menolak pemimpin-pemimpin yang menggunakan rasuah untuk mendapatkan jawatan.
Amat malanglah jika pemimpin yang dipilih kelak hanya semata-mata bermodalkan harta dan bukanlah kerana ilmu dan ketajaman minda yang mampu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat. Amat malang lagi jika penyangak dan pengkhianat parti yang diangkat sebagai pemimpin manakala yang berpengetahuan agama dan berkarisma di kesamping malah dipinggirkan oleh perwakilan.
Apa yang lebih merunsingkan penulis andainya para pemuda UMNO sebagai generasi pewaris turut terikut-ikut dengan kecelaruan budaya politik sebegini hingga tercabutnya idealisme perjuangan yang sejati. Pemikiran bahawa perjuangan politik merupakan kerjaya cari makan atau wahana mengejar kemewahan tidak lagi relevan dan mesti dihapuskan demi memastikan UMNO kembali kuat dan mendapat tempat di hati rakyat. Moga-moga cita-cita besar ini mampu direalisasikan dan diberkati Allah jua.
No comments:
Post a Comment