Nampaknya pemilihan untuk jawatan tertinggi parti semakin hangat dan rancak. Semua maklum bahawa barisan kepemimpinan UMNO yang akan ditentukan Mac ini akan mencorakkan senario dan lanskap politik negara masa depan. Umpamanya siapa yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO, secara tradisi akan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Orang No.2 paling berkuasa dalam negara. Begitulah seterusnya dengan jawatan2 lain seperti Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dll.
Cuma kebimbangan paling besar bagi penulis sekiranya budaya rasuah yang begitu mengakar dalam UMNO ketika ini akan terus menjalar dan mendominasi corak pemilihan kepemimpinan. Kalau melihat jumlah perwakilan sekitar 2500 orang, seorang calon hanya perlu membelanjakan RM5 juta jika setiap perwakilan hendak disuap RM2000 seorang. Nilai RM5 juta bagi orang biasa mungkin terlalu banyak, tapi untuk golongan oportunis yang mendambakan mahkota kuasa jumlah sedemikian tidak seberapa. Bahkan ada juga ‘dermawan2′ dari kalangan golongan korporat yg sudah bersedia untuk sponsor calon2 tertentu sebagai satu bentuk pelaburan.
Apa yang pasti kalau beginilah corak pemimpin yang akan diangkat menerajui parti, tidak mustahil UMNO akan hancur dan bakal ditolak secara total oleh rakyat dalam pilihanraya akan datang. Seharusnya pemimpin yang akan dipilih kelak harus berasaskan kepada kualiti kepimpinan sebagaimana tuntutan wahyu Ilahi.
Justeru, penulis berharap para perwakilan dapat menggunakan pertimbangan akal-budi dan bukannya emosi kebinatangan dalam memilih pemimpin kelak. Janganlah digadaikan prinsip agama hanya kerana wang-ringgit. Janganlah dipertaruhkan masa depan umat hanya untuk kesenangan sementara yang tiada keberkatan. Sesungguhnya duit yang diperolehi daripada sumber yang haram tidak sekali-kali dapat memberikan kebahagiaan bahkan malapetaka yang akan menimpa.
Moga-moga barisan pemimpin yang bakal diangkat menerajui UMNO kelak adalah barisan yang berkualiti dan benar-benar menjiwai hati naluri rakyat.
No comments:
Post a Comment