Penjara gelapnya diketuk kuat.Terbang segala babak-babak peristiwa yang lalu.Tok Guru Saleh kembali berdepan dengan keadaan semasa…di penjara bawah tanah Datuk Sagor.
“Sudah masuk waktu Zuhur. Ini air untuk wuduk.” kata pengawal melalui pintu besi penjara gelap yang mengurung Tok Guru Saleh.
Drengggg! Bekas air ditolak dari celah pintu besi yand dikuak sebentar. Serentak dengan itu cahaya mentari menerpa masuk.
“Alhamdulilah…”
Perlahan-lahan dengan langkah tenang tetapi teraba-raba Tok Guru Saleh berwuduk. Dan selepas itu terus sembahyang. Tenang dan khusyuk. Dia bagaikan disimbah cahaya dari dalam dirinya. Keyakinan dan sangka baiknya kepada Allah tidak pernah tergugat. Harapannya tetap membumbung tinggi.
“Biarlah dibunuh kerana perjuangan. Kuharap matiku di tangan Allah,” bisik hatinya.
• • • • •
Di luar istana Sagor bergolak. Tok Guru Imran dan Panglima Jaguh telah melancarkan serangan. Rampasan kuasa telah bermula. Datuk Sagor telah dipanah oleh askar upahan Panglima Jaguh sewaktu berada di Balai Penghadapan. Dia parah tetapi tidak mati. Dengan bersusah payah pengikutnya membawanya ke tempat selamat. Tapi isteri Datuk Sagor dan pengawal peribadinya telah terkorban. Singgahsana mula berdarah.
Datuk Sagor dilarikan ke kubu kuatnya di bahagian tengah Pulau Delima. Dari situ ia mengumpulkan kekuatan daripada pengikut-pengikutnya yang masih setia untuk melancarkan serangan tindak balas. Di istana, Tok Guru Imran mula menyiapkan kubu pertahanan. Pertempuran penamat akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi.
• • • • •
“Lari…lari Tok Guru!” tiba-tiba satu suara mencecah cuping telinganya.
Tok Guru Saleh tersentak.
Sebentar cuma. Tiba-tiba pintu besi dikuak dengan gopoh. Dia yang baru selesai mengaminkan doanya selepas sembahyang Zuhur itu berdiri cepat.
Belum sempat dia bertanya suara yang sama menerjah lagi. “Pulau Delima dilanda petaka. Perang saudara telah berlaku.”
Dia tidak pasti pemilik suara itu. Hanya sesusuk badan sasa sahaja kelihatan dalam matanya yang diterpa cahaya.
Tak ada masa untuk bercakap panjang.
“Saya disuruh membunuh Tok Guru. Tapi saya tak tergamak. Lari. Larilah. Selamatkan Pulau Delima daripada petaka ini!”
“Insya-Allah, aku akan cuba,” kata Tok Guru Saleh sambil melangkah kakinya cepat-cepat. Padanya kini tergenggam satu amanah-mencari pendamaian.
• • • • •
“Cis, Tok Guru Saleh terlepas! Apa yang hendak kita hebahkan kepada rakyat untuk mendapat sokongan?” kata Tok Guru Imran kepada Panglima Jaguh.
Masing-masing mengetap bibir. Tak sangka pengaruh Tok Guru Saleh sudah merayap dalam istana. Malah ke dalam diri panglima-panglima kanannya sendiri.
“Tak sangka di bawah kepakmu ada pembelot,” kata Tok Guru Imran. Panglima Jaguh tersentak.
“Datuk Panglima, Tok Guru Imran! Ribuan rakyat sedang berarak ke mari.”
“Apa yang mereka mahu?”
“Dengar Tok, dengar apa yang mereka jeritkan.”
Di luar istana Datuk Sagor yang mereka tawan, beribu-ribu rakyat sedang berarak.
“Allahu Akbar. Allahu Akbar. Damai. Damai. Berdamailah kerana Allah!” Suara itu kedengaran bertalu-talu.
“Apa yang perlu kita buat?” tanya Panglima Jaguh mula cemas. Diburu rasa serba salah.
“Perintahkan pasukan pemanah. Panah mereka!”
“Mereka terlalu ramai Tok.”
“Panah! Aku kata panah!” bentak Tok Guru Imran.
“Katamu kau buat semua ini kerana pendamaian. Kerana menentang kezaliman. Kini kau juga seperti Sagor,” bantah Panglima Jaguh.
Di luar suasana makin hangat. Tentera pemanah masih tercegat. Perintah sudah pecah. Arahan telah bertentangan.
Mata Panglima Jaguh dan Tok Guru Imran berrtentangan.
“Kau ketua atau aku?” tanya Tok Guru Imran. Tangannya menyentap pedang di pinggang.
“Aku berketuakan kebenaran,” kata Panglima Jaguh sambil menyentap pedangnya.
Pedang tanding pun berlaku. Namun kekuatan tidak seimbang. Kelincahan dan keupayaan fizikal Tok Guru Imran sudah banyak diragut sewaktu dipenjarakan dahulu. Hanya sebentar…kepala Tok Guru Imran sudah bergelantakan di lantai istana. Pedang Panglima Jaguh menyelesaikan tugasnya.
“Kita ikut kehendak rakyat!Letakkan senjata. Kita berdamai sekarang,” perintah Panglima Jaguh.
• • • • •
Di bahagian tengah Pulau Delima pula proses pedamaian jadi semakin cepat dengan kematian Datuk Sagor. Panah beracun oran upahan Panglima Jaguh menyempurnakan bisanya. Saki baki tentera Datuk Sagor yang sudah kehilangan semangat akur dengan tuntutan rakyat.
Kalau kekerasan digunakan Datuk Sagor dan Tok Guru Imran untuk berkuasa, kini kekerasan itu jugalah yang meragut nyawa mereka. Dendam, kerakusan, kezaliman dan kekejaman mereka musnah dibaham tanah. Darah dibayar darah. Tok Guru Imran mati di hujung pedang. Datuk Sagor mati oleh panah beracun. Kedua-dua mereka sudah tiada. Siapa bakal memimpin Pulau Delima?
“Tok Guru, wakil penduduk Pulau Delima hendak berjumpa.”
“Silakan,” jawab Tok Guru Saleh pendek. Lembaran Al Quran yang sedang ditatapnya ditutup perlahan-lahan.
Wakil itu terus menyampaikan hasratnya: “Pimpinlah Pulau Delima Tok Guru…”
“Itu tidak pernah ada dalam hatiku. Dulu dan sekarang,”jawab Tok Guru Saleh. Matanya redup memandang ke bawah.
“Singgahsana Istana Delima telah kosong. Teraju pemerintahan sudah tiada.”
“Kita sama-sama cari penggantinya,” balas Tok Guru Saleh.
“Siapa?”
“Oleh mereka yang hatinya tidak terpaut dengan dunia. Jiwanya tidak ditawan oleh hawa nafsu. Cukuplah selama ini korban yang jatuh. Cukuplah selama ini darah yang tumpah.”
“Kami hanya nampak Tok Guru…”
Tiba-tiba Tok Guru Saleh menangis. Lalu berkata, “Ya Allah jauhkan aku dari semua ini sebagaimana jauhnya Timur dan Barat. Dunia telah datang Ya Allah..”
Tok Guru Saleh terus menangis.
Wakil penduduk Pulau Delima turut hiba. Bahunya dipegang dari belakang.
“Biarkan Tok Guru. Nanti dia akan dapat jawapan dari Dia,” kata Jamil yang duduk di sebelah Panglima Jaguh.
“Siapa dia?” tanya wakil Pulau Delima.
“Tuhannya!”
No comments:
Post a Comment