“TOK GURU, kita sudah terkepung. Bala tentera Datuk Sagor sudah sedia menyerang. Mereka tak sabar lagi untuk memerangi kita. Mereka hanya menunggu arahan Tok,” kata Jamil murid kesayangannya.
Dia tenang. Kata-kata Jamil itu sedikitpun tidak menggoncangkan hatinya. Jiwanya teguh. Bagai tiang madrasah kesayangannya yang terpacak kukuh.
Perlahan-lahan Tok Guru Saleh bersuara, “Aku tahu. Bersabarlah. Yang mereka hendakkan aku. Biar aku menyerah. Biar tak ada darah yang tumpah. Kita berserah kepada Allah Taala.”
Sekali-sekala di dalam gelap muncul wajah Tok Guru Imran, sahabat sepengajiannya waktu menuntut ilmu dengan Tok Ku Pulau Lebar empat puluh tahun yang lalu.
“Kerajaan Sagor itu mungkar. Pemerintah jahiliah warisan Abu Jahal kita gulingkan sahaja. Ayuh kita kumpulkan senjata dari sekarang Saleh. Kita amuk dan tegakkan hukum Tuhan atas runtuhan jahiliah itu nanti.”
Masih basah di ingatannya pada kata-kata Imran. Dalam kenangan Tok Guru Saleh masih terbayang raut wajah Tok Guru Imran yang merah, garang dan berapi-api ketika mengajaknya bergabung tenaga melancarkan Perang Sabil ke atas Kerajaan Datuk Sagor.
“Sudah ada di kalangan tenteramu yang menzalimi puasa siang dan malam?” tanya Tok Guru Saleh. Pertanyaan itu memulakan silat lidah antara Tok Guru dengan sepengajian itu.
Tok Guru Imran diam. Pertanyaan itu ternganga tidak berjawab.
“Atau melazimi puasa siang walaupun tak sembahyang malam?”
Tok Guru Imran masih terdiam.
“Atau melazimi sembahyang malam walaupun tak puasa siang?”
Tok Guru Imran masih terus diam.
“Kau belum bersedia. Kalau syaitan dan nafsu belum diperangi, jangan berani memerangi orang lain. Kecundang kita, buruk padahnya. Terhina di dunia, terhina di akhirat. Lagipun itu bukan caranya menegakkan Islam,” syarah Tok Guru Saleh bertubi-tubi. Walaupun kata-katanya bermaksud dalam dan tersirat tetapi tidak ada kasar terluah. Perlahan dan lembut.
Masih terbayang dalam ingatannya bagaimana murid-murid kanan Tok Guru Imran yang berada di belakang mencebik.
“Usah layani dia Tok. Dia pengecut. Dia gementar dengan pedang-pedang tentera Pulau Delima. Dia redha dengan kemungkaran Datuk Sagor.”
Tok Guru Saleh berdiam diri.
“Kau jumud. Tidak tegas…!” lantang tuduhan Tok Guru Imran kepadanya.
“Tegas dan keras berbeza. Padaku, kau keras.”
“Kau tuduh aku tidak tegas?”
“Masa akan menjawabnya,” balas Tok Guru Saleh perlahan.
Mata garang Tok Guru Imran merenung kitab-kitab kuning atas para-para tepi dinding madrasah tempat pertemuan mereka. Ingatannya pada Tok Ku Pulau Lebar mengusik hatinya.
“Kau masih mengajar kitab-kitab ini Saleh?”
“Itu kan amanah Tok Ku yang sama-sama kita terima,”balas Tok Guru Saleh.
“Dari dulu kau masih bersenjatakan lidah.”
“Lidah lebih tajam dari mata pedang. Kau tentu ingat kata-kata Sayidina Ali.”
“Setiap kali aku teringatkan Sayidina Ali, aku teringatjan pedang Zulfakar. Aku teringat darah Sayidina Hussin yang tumpah di Karbala.” tegas Tok Guru Imran terus terang. Misai tebalnya bergerak-gerak. Ekor serban hitamnya terbuai-buai ditiup angin yang mencuri-curi masuk dari tingkap surau yang berukir indah itu.
“Lalu Datuk Sagor mahu kau jadikan ‘Yazid’ barumu?” umpan Tok Guru Saleh.
“Ya. Aku idamkan kepalanya. Dia syaitan besar tanah bertuah ini. Kalau tidak kerananya hukum Allah telah tegak di sini.” Mata Tok Guru Imran merah menyala-nyala. Nafasnya mendengus-dengus. Panas. Tangannya menggengam erat hulu keris panjang yang tersisip di pinggangnya.
“Kau sudah punya hati seperti Sayidina Ali? Hati yang boleh meletakkan pedangnya kerana diludah oleh musuhnya?” sela Tok Guru Saleh.
Tok Guru Imran diam.
“Kau ingat cerita Tok Ku dulu? Sayidina Ali yang sudah mengalahkan nafsunya. Dia yang berkata, aku letakkan pedang ini kerana tadinya aku marah kerana nafsuku. Bukan lagi kerana Allah,” sambung Tok Guru Saleh lagi.
“Kau dengar itu Imran?” desaknya lagi.
“Pada kau hati yang macam Hussin sahaja layak memegang Zulfakar dan memerangi Yazid?” tanya Tok Guru Imran sinis.
“Ya,” balasnya tegas.
“Sampai bila kita mesti tunggu sampai memiliki hati macam itu? Sepuluh tahun? Seratus tahun? Seribu tahun? Sedangkan Datuk Sagor terus bermaharajalela! ” pintas Tuk Guru Imran.
Dalam gelap-pekat penjara bawah tanah itu Tok Guru Saleh terus berfikir. Ruang kepalanya masih diterjah peristiwa pertemuannya dengan Tok Guru Imran. Gigitan nyamuk di leher dan telinganya dibiarkan sahaja. Sudah lali. Malah dalam gelap begitu sejak tiga bulan yang lalu nyamuk dan pijat sudah jadi sahabatnya.
“Jangan kau libatkan Sagor sahaja. Tapi lihat dalam kumpulanmu. Mengapa belum tegak Islam yang kau cuba citakan itu?” Mencelah lagi ingatan itu dalam kepalanya.
Dia tidak akan lupa wajah Tok Guru Imran dalam pertemuan yang kian panas itu. Masih terbayang dalam ruang matanya bagaimana tangan-tangan anak murid Tok Guru Imran sudah menggengam hulu keris. Kalaulah anak muridnya tidak bersabar, lantai madrasah mungkin akan dibasahi darah. Mujurlah dia bersabar, kalau tidak pejuang Islam akan beramuk sesama sendiri.
“Kami sibuk berjuang. Bukan masanya menadah kitab. Ini masanya senjata berkata-kata. Ini lebih fardu sekarang.” Tok Guru Imran masih tidak mahu mengalah.
“Tapi kampung Lela terus mengatur hidup. Bagaimana pertanian, jual beli, pendidikan dan kenduri-kendara di sana? Sudah diatur secara Islam?”
“Kampung Lela, kampungku, kampung pejuang. Urusan hidup terpulang kepada diri masing-masing. Urusanku cuma memimpin gerakan bawah tanah bersenjata. Kuajar mereka ilmu perwira. Kudidik bermain senjata,” jelas Tok Guru Imran lagi.
“Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam? Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum bertegak?” Tok Guru Saleh memerangkap.
“Jadi kau minta aku perangi diriku dan kumpulanku dulu?” Tok Guru Imran menyimpul.
“Kan itu perjuangan yang lebih besar, berjuang menentang hawa nafsu? Kau tentu ingat pesan Tok Guru kita.”
“Kekejaman Sagor tak boleh dibiarkan.Kita mesti berani menyatakan kebenaran di depan penguasa yang zalim…”cabar Tok Guru Imran terus menerus.
“Aku juga begitu. Tapi kupilih menyatakannya di dengan sikap. Dengan tindakan. Dengan hasil kerja yang manfaat,” jelas Tok Guru Saleh. Perlahan. Cuba menenangkan suasana yang makin panas.
“Tapi aku pilih senjata. Aku pilih kuasa,” sambut Tok Guru Imran makin menggelegak.
“Aneh, Imran. Kau asyik salahkan Sagor. Salahkan musuh. Tapi kau juga kering dari apa yang kau tuntut dari Sagor,” bidas Tok Guru Saleh.
• • • • •
Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana rombongan Tok Guru Imran yang datang memujuk mereka untuk memerangi pimpinan kerajaan pimpinan Datuk Sagor pulang sia-sia. Dia tetap tidak rela menukar prinsip perjuangannya walaupun dipujuk, diejek dan diperolok-olokkan oleh Tok Guru Imran dan murid-murid kanannya.
Dia masih ingat, dua bulan kemudian Pulau Delima gempar. Tok Guru Imran melancarkan serangan. Satu revolusi dilancarkan.Pedang, kelewang, lembing dan keris menghirup darah. Korban berjatuhan. Istana Datuk Sagor cuba diambil alih oleh anak murid Tok Guru Imran. Namun serangan itu gagal. Sagor terlalu perkasa. Walaupun berjuang dengan berani tetapi kumpulan Tok Guru Imran kekurangan senjata. Lagipun rakyat tidak turut serta memberontak. Rakyat terpinga-pinga. Gerakan bawah tanah diselubungi misteri. Sokongan rakyat menghampakan. Pengaruh Tok Guru Imran hanya berlegar di sekitar Kampung Lela. Tangan berisi Sagor mengganas. Kampung Lela dijadikan padang jarak padang terkukur. Tok Guru Imran dapat ditawan.
Dalam gelap-gelap begitupun ingatannya masih terang terhadap tragedi yang telah menimpa Kampung Lela.
“Innalillah…” Itulah katanya dulu. Dia pilu. Sedih. Kepada pembawa berita sedih dan anak-anak muridnya dia berseru:
“Sudah kuagak begitulah akhirnya. Jamil, kumpulkan makanan, pakaian dan barang-barang keperluan secukupnya. Kita ke kampung Lela. Mereka perlukan bantuan,” kata Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita kekalahan Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita kekalahan Tok Guru Imran dan Kampung Lela. Di sana sisa-sisa pengikut Tok Guru Imran dikumpulkan. Kampung Lela dibangunkan semula.Kali ini dengan roh perjuangan Tok Guru Saleh.
“Bangunkan pertanian. Hasilkan tanaman dan buah-buahan.”
“Tegakkan sekolah. Bina madrasah. Kita didik anak-anak kita dengan Al Quran dan Sunnah.”
“Susun rumahtangga secara Islam. Didik isteri dan bina keluarga bahagia. Dari situ kembangkan ke tengah masyarakat. Kita bangunkan masyarakat Islam…”
Begitu seruan demi seruan, kerja demi kerja, pembangunan demi pembangunan yang dijalankan oleh Tok Guru Saleh dan anak buahnya.
Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana sedikit demi sedikit, sejengkal demi sejengkal, perjuangannya makin diterima rakyat. Akhirnya pengaruhnya makin meluas. Bukan setakat Kampung Cahaya kampung asalnya dan Kampung Lela bekas kampung Tok Guru Imran, bahkan kini Kampung Teraju, Kampung Pasu, Kampung Senja dan kampung-kampung lain sudah mengikut jejak Tok Guru Saleh dan pengikutnya. Gerakan evolusinya menjalar bagai akar pokok.Lembut tapi memecahkan batu. Perlahan tetapi tiada siapa dapat menghalang.
Masa berlalu cepat,mengubah peristiwa dan kehidupan. Tahun demi tahun berlalu. Belantara jadi sawah. Hutan dipugar jadi kebun. Pulau Delima makin makmur. Tapi kezaliman dan kemungkaran terus bermaharajalela. Datuk Sagor terus bertakhta dengan megah. Hukum Allah terus terabai.
Suasana dan masa turut mengubah manusia. Dan perubahan itu turut berlaku kepada Tok Guru Imran yang sekian lama jadi tawanan. Dari istana Datuk Sagor bertiup berita yang mengejutkan. Tok Guru Imran dibebaskan. Tambah mengejutkan bila dilantik menjadi orang kanan Datuk Sagor. Entah apa yang berlaku selama lima tahun dalam penjara bawah tanah Pulau Delima hingga Tok Guru Imran berubah. Sikap kerasnya jadi lembut bak agar-agar. Suara pekiknya yang lantang dulu kini jadi senandung memuja prinsip kerajaan Sagor. Tak hairanlah kalau dengan sekejap sahaja dia sudah dilantik menjadi orang kanan Kerajaan Datuk Sagor.
Layar ingatan To Guru Saleh terus mengembang. Dan perahu kenangannya terus berlayar di laut fikirannya yang tidak bertepi. Dia teringat bagaimana tanpa diduganya gelanggang perjuangan makin lebar. Di luar istana, di tengah masyarakat ,pengaruhnya terus membumbung. Lebih empat puluh kampung di Pulau Delima telah berubah kepada Islam. Peliknya, Tok Guru Saleh tidak mencapai semua itu dengan kuasa, jauh sekali senjata. Dia tetap dengan kitab kuningnya. Mengajar,mendidik dan memimpin. Amar makruf dan khidmat masyarakatnya dilipat gandakan. Pantang berlaku banjir, anak muridnya yang berlumba-lumba membantu. Begitu juga kalau ada malapetaka yang lain, kumpulan Tok Guru Salehlah yang akan menghulurkan bantuan. Tok Guru Saleh bertakhta di hati rakyat, berkerajaan dalam perlaksanaan syariat, tanpa kuasa dan istana.
Tapi cuaca perjuangan tidak ubah seperti cuaca alam. Hujan, kemarau, ribut dan taufan pasti berlaku. Dan ribut mula melanda perjuangannya. Perjuangan Tok Guru Saleh akhirnya dicurigai dan diancam.
“Datuk Sagor, pengaruh Tok Guru Saleh nampaknya makin kuat. Di empat puluh kampung di Pulau Delima ini hidup rakyat telah bertukar corak. Laga lembu dan laga ayam sudah tidak diminati orang. Tarian Serindit kesukaan kita sudah dilupakan. Mereka juga tidak mahu meminjam lagi dengan tuan tanah peliharaan kita. Kata mereka, memberi dan menerima bunga adalah haram,” lapor Menteri Kanan kerajaan Datuk Sagor.
“Ceh, tak habis-habis. Dulu kita dah ajar Tok Guru Imran secukup – cukupnya. Kita patahkan tilang dan sendi-sendi mereka. Tapi kini bangkit seorang lagi. Seorang lagi mahu jadi wira. Agaknya mereka ketagih sangat hendak bernafas dalam ruang sempit penjara bawah tanah Pulau Delima ni.”
“Kali ini siapa namanya?” tanya Datuk Sagor lagi.
“Tok Guru Saleh. Teman seperjuangan Tok Guru Imran, orang kuat kita.”
“Kita perangi sahaja mereka!”
“Saya rasa tidak Tok. Mereka bergerak secara aman. Apa kata rakyat Pulau Delima ini nanti? Penduduk di empat puluh buah kampung tentu akan tertanya-tanya. Atas alasan apa orang Tok Guru Saleh kita perangi?”
Muka Tok Sagor berkerut. Kebenaran kata-kata menterinya sukar ditolak.
“Kita panggil Tok Guru Imran.”
“Tok Guru Imran sedang bersama Panglima Jaguh di sempadan Negara tok.”
“Bersama Panglima Jaguh? Apa dibuatnya di sana?” tanya Datuk Sagor curiga.Namun prasangkanya ditepis jauh-jauh.
“Utuskan orang ke sana. Beritahu aku hendak bertemu dengannya. Ada hal sangat mustahak. Panglima Jaguh boleh turut serta,” perintah Datuk Sagor.
Sekumpulan tentera berkuda diutus segera memangggil Tok Guru Imran. Selang dua hari mereka pulang bersama dengan Tok Guru Imran dan panglima Jaguh.
“Benar. Jangan kita serang mereka. Lagipun mereka tidak punya senjata. Mereka hanya punya lidah dan gigi sahaja. Tak guna lancarkan peperangan kerana pengikut-pengikut Tok Guru Saleh tak akan melawan. Tok Guru Saleh tidak akan membenarkannya. Saya kenal dia.”
“Kalau begitu bagaimana?”
“Kita tangkap sahaja Tok Guru Saleh. Katakan itu kerana dia enggan membayar cukai…”
Kepala Datuk Sagor mengangguk-angguk. Setuju.
Dalam hati Tok Guru Imran mengingatkan perancangannya telah diatur bersama panglima Jaguh. Faktor Tok Guru Saleh penting untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap Datuk Sagor. Perancangan sudah diatur, tak lama selepas Tok Guru Saleh ditangkap. Dia akan merancang rampasan kuasa dari dalam. Panglima Jaguh sudah menyebelahinya. Walaupun isi rampasan kuasa itu hanyalah kepentingan diri dan melempiaskan dendam kesumat tetapi pada rakyat akan digembar-gemburkan konon rampasan kuasa itu untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan. Tok Guru Saleh akan dibunuh dalam penjara dan akan dihebahkan pembunuhan itu atas arahan Datuk Sagor. Rakyat empat puluh kampung akan marahakn Datuk Sagor. Dan mereka akan berdiri di belakang Tok Guru Imran dan Panglima Jaguh bagi memerangi Datuk Sagor.
Dalam dada Tok Guru Imran menyala dendam yang tidak pernah padam. Dendam yang menghanguskan roh jihad yang disemai oleh Tok Ku Pulau Lebar selama empat puluh tahun. Dendam yang memutuskan tali persahabatan dengan Tok Guru Saleh, teman seperjuangannya dulu. Tok Guru Imran marahkan Datuk Sagor. Kerananya dia dipenjara selama lima tahun di bawah tanah. Diseksa zahir dan batin.Hatinya turut marahkan Tok Guru Saleh. “Saleh terlau pengecut. Pengaruhnya tidak digunakan. Dibiarkannya aku seorang bertempur dengan bala tentera Sagor. Dia khianat. Dia juga syaitan macam Sagor,” jerit hati Tok Guru Imran.
“Darah mereka berdua halal!”
Dendam itu dipendamkannya. Diatur langkah dan rencana untuk meletupkannya. Diam-diam selama lima tahun Tok Guru Imran bergerak dalam istana Sagor. Menabur bakti, menyembunyi kuku dan bisa. Jasa sudah banyak. Dia dijadikan tangan kanan Datuk Sagor.