Saturday, March 12, 2011

JURUTERA DIATAS BUKIT

(Ini ada hasil tulisan guru saya, Ustaz Pahrol Md Juoi, rakaman perbualan beliau dan anaknya. Semoga diri saya juga mendapata menafaat dari nasihat seorang ayah kepada anaknya)

Setelah kembali ke KL malam semalam, saya terus menangani kerja-kerja penulisan seawal pagi ini. Buku Mukmin Profesional: Celik Mata hati sudah 80% selesai. Kali ini buku yang saya tulis agak berat dan sarat dengan seruan, gagasan, panduan dan hujah-hujah yang praktikal.

Program yang saya laksanakan bersama teman-teman di Selesa Beach Resort, Port Dickson semalam memberi saya input-input baru untuk ditangani dan diungkaikan. Alhamdulillah, perjuangan untuk membaiki diri dan ketrampilan yang tidak berpenghujung ini nampaknya sering mendapat pencerahan.

Walaupun kekadang terlalu banyak pengalaman peribadi untuk dikongsi, tetapi saya seboleh mungkin akan menjauhkan diri daripada menulisnya dalam blog ini. Lalu, acapkali sesuatu yang bersifat peribadi itu saya tambah rencah-rencahnya agar lebih kelihatan umum agar lebih mudah dikongsi dan dihayati.

Namun, ingin saya tegaskan apa yang saya tulis hakikatnya ialah usaha saya mengenengahkan kebenaran, yakni kebenaran dari segi prinsipnya dan kebenaran daripada segi kisah dan faktanya.

Kisah yang saya tulis, "Seorang Jurutera di atas bukit" misalnya ialah kisah dialog saya dengan anak lelaki setelah 3 bulan dia bekerja. Kebimbangan hati saya agar anak tidak terjebak dalam rasuah menyebabkan kisah itu saya nukilkan. Orang muda khususnya, bila mula mendapat kerja yang baik dan berpendapatan agak tinggi sedikit akan dilanda pelbagai godaan. Dan kita sedia maklum, ujian kesenangan lebih getir dan bahaya berbanding ujian kesusahan. Dalam sukar masih ramai yang mampu sabar, tetapi dalam senang, ramai yang lupa syukur, lalu kecundang.

Begitu juga apabila ada seorang lagi anak yang berdepan dengan dilema samada memilih bidang pengajian yang lebih sukar dan  mencabar atau yang lebih mudah,  saya mula bersembang-sembang untuk "membetulkan" persepsinya. Saya ingatkan, jangan mengejar "glamour" .  Pandangan diri terhadap diri sendiri lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap kita.  Ingat kata Ibn Jauzi, petanda orang sakit jiwa ialah apabila dia lebih percaya penilaian orang ramai berbanding pandangan dirinya sendiri.

Sebab itulah ramai orang yang ingin "mempamerkan" betapa dia berjaya dan bahagia walaupun dia sedar jauh di sudut hatinya bahawa dia sebenarnya tidak bahagia. Bergambar di khalayak ramai sebagai pasangan yang bahagia, tetapi bila pulang ke rumah begitu sukar bermesra sekalipun untuk bertegur sapa. Oh, dunia… akulah yang paling bahagia, dabik dadanya di hadapan ramai. Namun ketika sunyi sendiri, dia mengeluh, aduh… deritanya hidupku! Ini bukan cerita artis dan orang berkuasa sahaja, tetapi "orang biasa-biasa" pun ramai yang kena!

Lalu saya ingatkan anak saya (dan tentunya anak tuan-tuan juga), jangan semata-mata ingin digelar doktor, arkitek atau sesiapa sahaja… menyebabkan pandangan mata hati kita menjadi kabur. Ada masanya, saya "terpaksa" menceritakan kesalahan dan kesilapan masa lampau kepada anak-anak. Malu juga dirasakan, tetapi biarlah…  bukankah sebagai ibu-bapa kita selamanya akan rela jadi "jembatan" untuk dipijak oleh anak-anak dalam meniti kehidupannya?

Kisah-kisah itu sebahagiannya telah saya tulis dalam buku "Nota Hati Seorang Lelaki". Pengalaman menjadi anak sangat berharga ketika kita sendiri menjadi bapa. Walaupun kisah-kisah itu kekadang biasa-biasa sahaja, namun saya tulis jua – saya relakan ia dijadikan cerminan kepada kisah-kisah anda yang mungkin lebih istimewa. Dalam program di PD temph hari saya banyak berbual dengan "orang-orang besar" yang mempunyai kisah tragis dan tragedinya tersendiri. Dan saya sikerdil ini, telah berazam untuk menulis semua itu dengan lorekan kata dan rasa saya sendiri.

Bila kita memandang dengan rasa cinta… segalanya akan indah-indah saja. Tetapi sekali-sekala (malah kekadang selalu) tanpa disedari, kita memandang dengan rasa benci… maka segalanya seolah-olah bertukar wajah. Yang indah jadi gundah. Yang ceria bertukar duka. Padahal, yang berubah bukan apa yang kita lihat… tetapi mata yang melihat. Dan mata itu berubah kerana jiwa kita berubah. Ya, hujan di kacamata yang cinta terlihat bagaikan mutiara. Manakala di mata yang benci umpamakan darah atau air mata!

Pada mereka yang sering bertanya, apakah kisah-kisah yang saya tulis itu kisah saya? Inilah jawapan saya (dan tentunya jawapan ini juga masih umum sifatnya: "Penulis sejati memang menulis dirinya. Tetapi dia juga manusia… yang punya kekuatan dan kelemahan, kebaikan dan keburukan, pada hal khalayak pastinya inginkanyang baik-baik dan indah-indah sahaja. Lalu dia terus bermujahadah… menulis kebaikan sekalipun belum sepenuh dimilikinya dan dia akan "memendamkan" kejahatan dengan penuh kesedaran bahawa dia sedang berjuang untuk membuangnya. Dia ingin menghidangkan yang terbaik tanpa menjadi seorang munafik!"

Untuk pembaca yang sering ingin "mendengar" dentingan gentarasa… ku tinggalkan kalian dengan sebuah tulisan bertajuk: SEORANG JURUTERA DI ATAS BUKIT. Kisah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, bila keikhlasan dicabar oleh kepentingan diri.

Cerita ini sering didengar apabila membicarakan tentang keikhlasan. Ia ditulis oleh Al Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin. Seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.

Di pertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan tidak puas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.

Akhirnya syaitan mengaku kalah dan menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan bersedia memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan yang dimaksudkan. Lelaki soleh itu termakan hasutan dan bujukan syaitan lalu pulang kembali ke rumahnya.

Esok pagi, apabila dia bangun dari tidur di dapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantalnya. Benar, syaitan telah menunaikan janjinya. Begitulah keadaannya pada pagi hari kedua. Dinar emas sudah ada di bawah bantalnya seperti hari pertama. Tetapi pada hari ketiga, dinar emas sudah tidak ada lagi. Ternyata, syaitan mula menipu.

Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mengambil kapaknya untuk meneruskan niat awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki itu menahannya lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dicubanya sekali lagi, dia tetap kalah. Malah dicubanya berkali-kali, dia tetap kalah.

Ketika lelaki itu bertanya kenapa dia kalah dan kenapakah syaitan sudah jadi semakin gagah? Syaitan menjawab, "engkau kalah kerana kali ini niat mu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas." Ya, lelaki itu menjadi lemah kerana niatnya tidak ikhlas. Tahulah kita rupa-rupanya keikhlasan itu adalah satu kekuatan dan kehormatan.

Cerita di atas saya ceritakan kembali kepada anak yang baru bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan infrastruktur. Saya bimbang takut-takut dia terjebak dengan rasuah. Dia masih terlalu muda untuk mengenal sepak terajang dunia pekerjaan.
"Itu cerita lama, tapi masih relevan," nasihat saya.
"Sekarang ni tidak ada lagi syaitan yang menyamar ayah," balasnya sambil tersenyum.
"Eh, ada… masih ada," balas saya.
"Betul ke?"
"Betul. Syaitan yang berupa manusia. Kawan ayah pernah terjumpa," ujar saya.

"Macam mana tu?" tanya anak saya dengan penuh minat.
"Kawan ayah juga seorang jurutera. Ini cerita lama. Berlaku pada peringkat awal sewaktu dia mula masuk bekerja."
"Macam saya sekarang ni?"
Saya mengangguk. Biar saya ceritakan segala-galanya buat peringatan dan amaran kepadanya.

"Satu hari dia ditugaskan untuk melakukan pengawasan dan membuat laporan tentang pembinaan satu projek pembinaan jalan raya oleh sebuah syarikat yang diamanahkan…" saya memulakan cerita.
Ya, saya masih ingat bagaimana kawan saya menceritakan bagaimana hari itu dia datang bersama seorang lagi kawannya yang juga seorang jurutera. Mereka sama-sama muda. Sama-sama bersemangat baru.

Mereka terkejut apabila mahu pulang dari lokasi tersebut, di dalam bakul motosikal (mereka belum mampu membeli kereta) masing-masing ada satu sampul berisi wang. Bukan sedikit, tetapi banyak. Rupa-rupanya itu "hadiah" daripada syarikat pembinaan berkenaan. Apabila ditanya mengapa dan untuk apa hadiah itu diberikan? Wakil syarikat itu berkata, "you muda lagi. Baru kerja, tentu mahu pakai duit. Ini hadiah perkenalan daripada kami. Kita akan selalu bekerjasama nanti."

Kedua-duanya pulang ke rumah masing-masing dengan perasan yang pelbagai. Kawan saya sedar bahawa "hadiah" itu hakikatnya rasuah. Walaupun kawan saya itu kesempitan belanja (kebetulan emaknya sakit pada waktu itu), dia tetap tidak sedap hati untuk menerima pemberian itu. Esok pagi sekali lagi dia lokasi pembinaan dan menyerahkan semula sampul yang berisi wang tersebut.

"Apa you tak mahu pakai wang?"
"Tak apalah."
"You tak mahu kerjasama?"
"Saya akan beri kerjasama. Tanpa hadiah ini lebih mudah kita kerjasama. You tak segan dengan saya, saya pun tak segan dengan you," kata kawan saya.

" Apa kesudahan cerita tu ayah?" tanya anak saya penuh minat. Saya tahu cerita itu sangat rapat dengan situasi semasanya.
"Malangnya, kawannya yang seorang lagi tu menerima hadiah tersebut. Ketika ditanya mengapa, dia ada rasionalnya sendiri…"
"Apa rasionalnya?"
"Itu bukan rasuah tapi hadiah. Bukan kita minta, orang nak bagi. Nabi pun terima hadiah. Itulah hujah kawannya yang seorang lagi tu."

"Eh, bagus juga hujahnya ya?" balas anak saya sinis.
"Syaitan memang kreatif. Macam-macam tipu dayanya kepada manusia…"
Anak saya diam.
Saya menambah lagi, " di satu negara yang pernah ayah pergi dahulu mereka tidak menamakan rasuah, mereka tukar istilah jadi kerjasama. Bukan rasuah, tapi kerjasama. Di satu negara lain pula, rasuah dianggap "skill" dalam perniagaan. Orang sudah tidak memandangnya buruk. Ia dianggap satu strategi untuk melancarkan urusan!"

"Apa kesudahan cerita kawan ayah tadi?" kata anak saya mengingatkan.
"Dia dihormati, disegani dan kadangkala ditakuti. Ke mana sahaja dia membuat pengawasan, kontraktor-kontraktor yang diamanahkan akan memberi kerjasama. Sekarang dia jadi Ir dan ketua jurutera!"
"Kawannya yang seorang lagi macam mana?"
"Cerita sedih. Sejak dia menerima rasuah, wakil syarikat yang memberinya dahulu buat tak tahu sahaja. Kehadirannya tidak dipedulikan. Apalagi kata-kata dan tegurannya. Orang tahu dia dah "termakan". Dia tak lama di syarikat tempat dia bekerja. Khabarnya sering bertukar-tukar tempat kerja," jawab saya.

"Dah dapat kaitkan cerita-cerita tu?"
"Cerita yang mana ayah?"
"Cerita ikhlas versi lama dan baru."
"Rupa-rupanya orang yang ikhlas tu kuat ya ayah…"
"Ya, bukan kuat fizikalnya tetapi kuat hatinya. Tidak makan bujukan. Tahan dengan godaan."
"Rupa-rupanya taktik dan strategi syaitan amat licik. Hulur dulu, rentap kemudian."

"Dulu dia pakai dinar emas bawah bantal. Sekarang dia guna sampul surat, kad ATM, belanja perubatan, percutian luar negara, perempuan dan macam-macam lagi."
"Sekarang saya faham apa di sebalik simbolik syaitan menyamar jadi rupa manusia," kata anak saya yakin.
" Manusia dah jadi syaitan. Pemikiran, tindakan dan percakapannya penuh muslihat."

"Mereka menghulur untuk lebih banyak menerima. Dia rasuah sedikit, tetapi dia ambil balik banyak. Nanti dia akan tipu ukuran pembinaan, kadar bahan mentah, upah pekerja dan macam-macam…" kata anak saya yang mula menjiwai realiti pekerjaannya.
"Dan kalau orang yang diamanahkan untuk buat pengawasan sudah terjerat mereka akan buat sewenang-wenangnya. Tak kan dia berani membuat laporan yang telus dan jujur. I jaga you, you jaga I. Itulah maksud kerjasama yang dikatakan sejak awal."

"Baguslah kalau kamu faham. Apa pun ingat, syaitan tak akan mampu melawan orang yang ikhlas."
"Rupa-rupanya ikhlas itu penting bukan sahaja dalam solat dan puasa…"
"Ikhlas itu teras dan asas dalam semua ibadah. Baik yang berupa fardu Ain, mahu pun yang fardu kifayah. Yang habluminallah, juga habluminanas."
"Tapi cerita-cerita versi lama sukar nak dikaitkan dengan realiti terkini. Betul ke ayah?"
"Tidak juga, kalau kita jujur dengan sejarah, pasti banyak "ibrah" yang terserlah. Ada cerita yang lebih lama daripada cerita yang dinukilkan oleh imam Ghazali tu.
Dia termenung.

"Tahu cerita nabi Nuh AS?"
"Tentang penderhakaan kaumnya? Tentang kesabarannya berdakwah ratusan tahun?"
"Bukan sudut itu. Tapi sudut yang ada kena mengena dengan cerita-cerita kita sebelum ini…"
"Saya tak dapat tangkap maksud ayah," katanya berterus-terang.
"Cerita kapal nabi Nuh. Baginda hakikatnya jurutera macam kamu juga."
"Nabi Nuh lebih hebat ayah!"

"Nabi dan rasul adalah teladan sepanjang zaman. Mari kita teladani Nuh AS bukan sahaja di sudut ketulusan hatinya dalam berdakwah tapi dalam bidang pekerjaannya juga."
"Macam mana tu ayah?"
"Nabi Nuh di samping misi utamanya berdakwah, dia juga seorang jurutera dan arkitek yang membina kapal. Hebatkan? Kapal dibina di atas bukit. Kapal yang begitu teguh dan kukuh. Kapal yang tahan menahan gelombang banjir bertaraf "super". Jutaan kali lebih dahsyat daripada Tsunami yang baru lalu. Bayangkan puncak yang tertinggi di dunia pun tergenggelam. Kalau gunung Everest sudah ada pada waktu itu, Everest pun tenggelam. Banjir seluruh dunia. "

Setelah agak lama kami terdiam (mungkin terbayang betapa hebatnya banjir yang telah melanda dunia era Nabi Nuh itu), saya bertanya, "kamu ada dengar kapal nabi Nuh retak? Kamu ada dengar atapnya bocor?"
"Tidak ayah…"
"Orang sekarang berbeza. Buat lebuh raya retak. Buat stadium runtuh. Buat atap bangunan canggih-canggih tapi bocor.. tidak seperti kapal Nabi Nuh."
"Kita tidak meneladani Nabi Nuh ayah," balas anak saya perlahan.
"Mungkin kita kurang kepakaran. Mungkin juga kurang amanah."
"Atau mungkin kurang kedua-duanya sekali."

"Ayah mengingatkan sahaja. Bila bekerja ikhlaslah. Insya-Allah, rezeki berkat dan reda Allah pun dapat. Jadilah seperti Nabi Nuh, yang bukan sahaja ada kepakaran tetapi juga ada kejujuran. Dialah jurutera sejati yang tidak termakan pujuk rayu dan ejekan manusia."
Anak saya termenung panjang. Doa saya, mudah-mudahan dia, jurutera, arkitek dan juru ukur bahan muslim yang lain menjadi pekerja yang ikhlas. Amin.

Saya cuba-cuba mengimbau, bagaimanalah agaknya Nabi Nuh AS menghadapi ejekan kaumnya. Baginda diketawakan. Dinajisi struktur binaan awal kapalnya. Laut dan sungai terlalu jauh, di bina pula kapalnya di atas bukit. Cuaca cerah, belum ada teknologi ramalan berlakunya Tsunami, banjir besar ataupun taufan. Tanpa ganjaran, dia bersendirian. Tanpa menghiraukan itu semua, dia terus bekerja dan bekerja… kerana Allah. Ah, ikhlasnya kau wahai nabiyallah!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment