Monday, July 11, 2011

MELAWAN ARUS BHGN 2

Penjara gelapnya diketuk kuat.Terbang segala babak-babak peristiwa yang lalu.Tok Guru Saleh kembali berdepan dengan keadaan semasa…di penjara bawah tanah Datuk Sagor.

“Sudah masuk waktu Zuhur. Ini air untuk wuduk.” kata pengawal melalui pintu besi penjara gelap yang mengurung Tok Guru Saleh.

Drengggg! Bekas air ditolak dari celah pintu besi yand dikuak sebentar. Serentak dengan itu cahaya mentari menerpa masuk.

“Alhamdulilah…”

Perlahan-lahan dengan langkah tenang tetapi teraba-raba Tok Guru Saleh berwuduk. Dan selepas itu terus sembahyang. Tenang dan khusyuk. Dia bagaikan disimbah cahaya dari dalam dirinya. Keyakinan dan sangka baiknya kepada Allah tidak pernah tergugat. Harapannya tetap membumbung tinggi.

“Biarlah dibunuh kerana perjuangan. Kuharap matiku di tangan Allah,” bisik hatinya.

• • • • •

Di luar istana Sagor bergolak. Tok Guru Imran dan Panglima Jaguh telah melancarkan serangan. Rampasan kuasa telah bermula. Datuk Sagor telah dipanah oleh askar upahan Panglima Jaguh sewaktu berada di Balai Penghadapan. Dia parah tetapi tidak mati. Dengan bersusah payah pengikutnya membawanya ke tempat selamat. Tapi isteri Datuk Sagor dan pengawal peribadinya telah terkorban. Singgahsana mula berdarah.

Datuk Sagor dilarikan ke kubu kuatnya di bahagian tengah Pulau Delima. Dari situ ia mengumpulkan kekuatan daripada pengikut-pengikutnya yang masih setia untuk melancarkan serangan tindak balas. Di istana, Tok Guru Imran mula menyiapkan kubu pertahanan. Pertempuran penamat akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi.

• • • • •

“Lari…lari Tok Guru!” tiba-tiba satu suara mencecah cuping telinganya.

Tok Guru Saleh tersentak.

Sebentar cuma. Tiba-tiba pintu besi dikuak dengan gopoh. Dia yang baru selesai mengaminkan doanya selepas sembahyang Zuhur itu berdiri cepat.

Belum sempat dia bertanya suara yang sama menerjah lagi. “Pulau Delima dilanda petaka. Perang saudara telah berlaku.”

Dia tidak pasti pemilik suara itu. Hanya sesusuk badan sasa sahaja kelihatan dalam matanya yang diterpa cahaya.

Tak ada masa untuk bercakap panjang.

“Saya disuruh membunuh Tok Guru. Tapi saya tak tergamak. Lari. Larilah. Selamatkan Pulau Delima daripada petaka ini!”

“Insya-Allah, aku akan cuba,” kata Tok Guru Saleh sambil melangkah kakinya cepat-cepat. Padanya kini tergenggam satu amanah-mencari pendamaian.

• • • • •

“Cis, Tok Guru Saleh terlepas! Apa yang hendak kita hebahkan kepada rakyat untuk mendapat sokongan?” kata Tok Guru Imran kepada Panglima Jaguh.

Masing-masing mengetap bibir. Tak sangka pengaruh Tok Guru Saleh sudah merayap dalam istana. Malah ke dalam diri panglima-panglima kanannya sendiri.

“Tak sangka di bawah kepakmu ada pembelot,” kata Tok Guru Imran. Panglima Jaguh tersentak.

“Datuk Panglima, Tok Guru Imran! Ribuan rakyat sedang berarak ke mari.”

“Apa yang mereka mahu?”

“Dengar Tok, dengar apa yang mereka jeritkan.”

Di luar istana Datuk Sagor yang mereka tawan, beribu-ribu rakyat sedang berarak.

“Allahu Akbar. Allahu Akbar. Damai. Damai. Berdamailah kerana Allah!” Suara itu kedengaran bertalu-talu.

“Apa yang perlu kita buat?” tanya Panglima Jaguh mula cemas. Diburu rasa serba salah.

“Perintahkan pasukan pemanah. Panah mereka!”

“Mereka terlalu ramai Tok.”

“Panah! Aku kata panah!” bentak Tok Guru Imran.

“Katamu kau buat semua ini kerana pendamaian. Kerana menentang kezaliman. Kini kau juga seperti Sagor,” bantah Panglima Jaguh.

Di luar suasana makin hangat. Tentera pemanah masih tercegat. Perintah sudah pecah. Arahan telah bertentangan.

Mata Panglima Jaguh dan Tok Guru Imran berrtentangan.

“Kau ketua atau aku?” tanya Tok Guru Imran. Tangannya menyentap pedang di pinggang.

“Aku berketuakan kebenaran,” kata Panglima Jaguh sambil menyentap pedangnya.

Pedang tanding pun berlaku. Namun kekuatan tidak seimbang. Kelincahan dan keupayaan fizikal Tok Guru Imran sudah banyak diragut sewaktu dipenjarakan dahulu. Hanya sebentar…kepala Tok Guru Imran sudah bergelantakan di lantai istana. Pedang Panglima Jaguh menyelesaikan tugasnya.

“Kita ikut kehendak rakyat!Letakkan senjata. Kita berdamai sekarang,” perintah Panglima Jaguh.

• • • • •

Di bahagian tengah Pulau Delima pula proses pedamaian jadi semakin cepat dengan kematian Datuk Sagor. Panah beracun oran upahan Panglima Jaguh menyempurnakan bisanya. Saki baki tentera Datuk Sagor yang sudah kehilangan semangat akur dengan tuntutan rakyat.

Kalau kekerasan digunakan Datuk Sagor dan Tok Guru Imran untuk berkuasa, kini kekerasan itu jugalah yang meragut nyawa mereka. Dendam, kerakusan, kezaliman dan kekejaman mereka musnah dibaham tanah. Darah dibayar darah. Tok Guru Imran mati di hujung pedang. Datuk Sagor mati oleh panah beracun. Kedua-dua mereka sudah tiada. Siapa bakal memimpin Pulau Delima?

“Tok Guru, wakil penduduk Pulau Delima hendak berjumpa.”

“Silakan,” jawab Tok Guru Saleh pendek. Lembaran Al Quran yang sedang ditatapnya ditutup perlahan-lahan.

Wakil itu terus menyampaikan hasratnya: “Pimpinlah Pulau Delima Tok Guru…”

“Itu tidak pernah ada dalam hatiku. Dulu dan sekarang,”jawab Tok Guru Saleh. Matanya redup memandang ke bawah.

“Singgahsana Istana Delima telah kosong. Teraju pemerintahan sudah tiada.”

“Kita sama-sama cari penggantinya,” balas Tok Guru Saleh.

“Siapa?”

“Oleh mereka yang hatinya tidak terpaut dengan dunia. Jiwanya tidak ditawan oleh hawa nafsu. Cukuplah selama ini korban yang jatuh. Cukuplah selama ini darah yang tumpah.”

“Kami hanya nampak Tok Guru…”

Tiba-tiba Tok Guru Saleh menangis. Lalu berkata, “Ya Allah jauhkan aku dari semua ini sebagaimana jauhnya Timur dan Barat. Dunia telah datang Ya Allah..”

Tok Guru Saleh terus menangis.

Wakil penduduk Pulau Delima turut hiba. Bahunya dipegang dari belakang.

“Biarkan Tok Guru. Nanti dia akan dapat jawapan dari Dia,” kata Jamil yang duduk di sebelah Panglima Jaguh.

“Siapa dia?” tanya wakil Pulau Delima.

“Tuhannya!”

MELAWAN ARUS BHGN 1

“TOK GURU, kita sudah terkepung. Bala tentera Datuk Sagor sudah sedia menyerang. Mereka tak sabar lagi untuk memerangi kita. Mereka hanya menunggu arahan Tok,” kata Jamil murid kesayangannya.

Dia tenang. Kata-kata Jamil itu sedikitpun tidak menggoncangkan hatinya. Jiwanya teguh. Bagai tiang madrasah kesayangannya yang terpacak kukuh.

Perlahan-lahan Tok Guru Saleh bersuara, “Aku tahu. Bersabarlah. Yang mereka hendakkan aku. Biar aku menyerah. Biar tak ada darah yang tumpah. Kita berserah kepada Allah Taala.”

Sekali-sekala di dalam gelap muncul wajah Tok Guru Imran, sahabat sepengajiannya waktu menuntut ilmu dengan Tok Ku Pulau Lebar empat puluh tahun yang lalu.

“Kerajaan Sagor itu mungkar. Pemerintah jahiliah warisan Abu Jahal kita gulingkan sahaja. Ayuh kita kumpulkan senjata dari sekarang Saleh. Kita amuk dan tegakkan hukum Tuhan atas runtuhan jahiliah itu nanti.”

Masih basah di ingatannya pada kata-kata Imran. Dalam kenangan Tok Guru Saleh masih terbayang raut wajah Tok Guru Imran yang merah, garang dan berapi-api ketika mengajaknya bergabung tenaga melancarkan Perang Sabil ke atas Kerajaan Datuk Sagor.

“Sudah ada di kalangan tenteramu yang menzalimi puasa siang dan malam?” tanya Tok Guru Saleh. Pertanyaan itu memulakan silat lidah antara Tok Guru dengan sepengajian itu.

Tok Guru Imran diam. Pertanyaan itu ternganga tidak berjawab.

“Atau melazimi puasa siang walaupun tak sembahyang malam?”

Tok Guru Imran masih terdiam.

“Atau melazimi sembahyang malam walaupun tak puasa siang?”

Tok Guru Imran masih terus diam.

“Kau belum bersedia. Kalau syaitan dan nafsu belum diperangi, jangan berani memerangi orang lain. Kecundang kita, buruk padahnya. Terhina di dunia, terhina di akhirat. Lagipun itu bukan caranya menegakkan Islam,” syarah Tok Guru Saleh bertubi-tubi. Walaupun kata-katanya bermaksud dalam dan tersirat tetapi tidak ada kasar terluah. Perlahan dan lembut.

Masih terbayang dalam ingatannya bagaimana murid-murid kanan Tok Guru Imran yang berada di belakang mencebik.

“Usah layani dia Tok. Dia pengecut. Dia gementar dengan pedang-pedang tentera Pulau Delima. Dia redha dengan kemungkaran Datuk Sagor.”

Tok Guru Saleh berdiam diri.

“Kau jumud. Tidak tegas…!” lantang tuduhan Tok Guru Imran kepadanya.

“Tegas dan keras berbeza. Padaku, kau keras.”

“Kau tuduh aku tidak tegas?”

“Masa akan menjawabnya,” balas Tok Guru Saleh perlahan.

Mata garang Tok Guru Imran merenung kitab-kitab kuning atas para-para tepi dinding madrasah tempat pertemuan mereka. Ingatannya pada Tok Ku Pulau Lebar mengusik hatinya.

“Kau masih mengajar kitab-kitab ini Saleh?”

“Itu kan amanah Tok Ku yang sama-sama kita terima,”balas Tok Guru Saleh.

“Dari dulu kau masih bersenjatakan lidah.”

“Lidah lebih tajam dari mata pedang. Kau tentu ingat kata-kata Sayidina Ali.”

“Setiap kali aku teringatkan Sayidina Ali, aku teringatjan pedang Zulfakar. Aku teringat darah Sayidina Hussin yang tumpah di Karbala.” tegas Tok Guru Imran terus terang. Misai tebalnya bergerak-gerak. Ekor serban hitamnya terbuai-buai ditiup angin yang mencuri-curi masuk dari tingkap surau yang berukir indah itu.

“Lalu Datuk Sagor mahu kau jadikan ‘Yazid’ barumu?” umpan Tok Guru Saleh.

“Ya. Aku idamkan kepalanya. Dia syaitan besar tanah bertuah ini. Kalau tidak kerananya hukum Allah telah tegak di sini.” Mata Tok Guru Imran merah menyala-nyala. Nafasnya mendengus-dengus. Panas. Tangannya menggengam erat hulu keris panjang yang tersisip di pinggangnya.

“Kau sudah punya hati seperti Sayidina Ali? Hati yang boleh meletakkan pedangnya kerana diludah oleh musuhnya?” sela Tok Guru Saleh.

Tok Guru Imran diam.

“Kau ingat cerita Tok Ku dulu? Sayidina Ali yang sudah mengalahkan nafsunya. Dia yang berkata, aku letakkan pedang ini kerana tadinya aku marah kerana nafsuku. Bukan lagi kerana Allah,” sambung Tok Guru Saleh lagi.

“Kau dengar itu Imran?” desaknya lagi.

“Pada kau hati yang macam Hussin sahaja layak memegang Zulfakar dan memerangi Yazid?” tanya Tok Guru Imran sinis.

“Ya,” balasnya tegas.

“Sampai bila kita mesti tunggu sampai memiliki hati macam itu? Sepuluh tahun? Seratus tahun? Seribu tahun? Sedangkan Datuk Sagor terus bermaharajalela! ” pintas Tuk Guru Imran.

Dalam gelap-pekat penjara bawah tanah itu Tok Guru Saleh terus berfikir. Ruang kepalanya masih diterjah peristiwa pertemuannya dengan Tok Guru Imran. Gigitan nyamuk di leher dan telinganya dibiarkan sahaja. Sudah lali. Malah dalam gelap begitu sejak tiga bulan yang lalu nyamuk dan pijat sudah jadi sahabatnya.

“Jangan kau libatkan Sagor sahaja. Tapi lihat dalam kumpulanmu. Mengapa belum tegak Islam yang kau cuba citakan itu?” Mencelah lagi ingatan itu dalam kepalanya.

Dia tidak akan lupa wajah Tok Guru Imran dalam pertemuan yang kian panas itu. Masih terbayang dalam ruang matanya bagaimana tangan-tangan anak murid Tok Guru Imran sudah menggengam hulu keris. Kalaulah anak muridnya tidak bersabar, lantai madrasah mungkin akan dibasahi darah. Mujurlah dia bersabar, kalau tidak pejuang Islam akan beramuk sesama sendiri.

“Kami sibuk berjuang. Bukan masanya menadah kitab. Ini masanya senjata berkata-kata. Ini lebih fardu sekarang.” Tok Guru Imran masih tidak mahu mengalah.

“Tapi kampung Lela terus mengatur hidup. Bagaimana pertanian, jual beli, pendidikan dan kenduri-kendara di sana? Sudah diatur secara Islam?”

“Kampung Lela, kampungku, kampung pejuang. Urusan hidup terpulang kepada diri masing-masing. Urusanku cuma memimpin gerakan bawah tanah bersenjata. Kuajar mereka ilmu perwira. Kudidik bermain senjata,” jelas Tok Guru Imran lagi.

“Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam? Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum bertegak?” Tok Guru Saleh memerangkap.

“Jadi kau minta aku perangi diriku dan kumpulanku dulu?” Tok Guru Imran menyimpul.

“Kan itu perjuangan yang lebih besar, berjuang menentang hawa nafsu? Kau tentu ingat pesan Tok Guru kita.”

“Kekejaman Sagor tak boleh dibiarkan.Kita mesti berani menyatakan kebenaran di depan penguasa yang zalim…”cabar Tok Guru Imran terus menerus.

“Aku juga begitu. Tapi kupilih menyatakannya di dengan sikap. Dengan tindakan. Dengan hasil kerja yang manfaat,” jelas Tok Guru Saleh. Perlahan. Cuba menenangkan suasana yang makin panas.

“Tapi aku pilih senjata. Aku pilih kuasa,” sambut Tok Guru Imran makin menggelegak.

“Aneh, Imran. Kau asyik salahkan Sagor. Salahkan musuh. Tapi kau juga kering dari apa yang kau tuntut dari Sagor,” bidas Tok Guru Saleh.

• • • • •

Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana rombongan Tok Guru Imran yang datang memujuk mereka untuk memerangi pimpinan kerajaan pimpinan Datuk Sagor pulang sia-sia. Dia tetap tidak rela menukar prinsip perjuangannya walaupun dipujuk, diejek dan diperolok-olokkan oleh Tok Guru Imran dan murid-murid kanannya.

Dia masih ingat, dua bulan kemudian Pulau Delima gempar. Tok Guru Imran melancarkan serangan. Satu revolusi dilancarkan.Pedang, kelewang, lembing dan keris menghirup darah. Korban berjatuhan. Istana Datuk Sagor cuba diambil alih oleh anak murid Tok Guru Imran. Namun serangan itu gagal. Sagor terlalu perkasa. Walaupun berjuang dengan berani tetapi kumpulan Tok Guru Imran kekurangan senjata. Lagipun rakyat tidak turut serta memberontak. Rakyat terpinga-pinga. Gerakan bawah tanah diselubungi misteri. Sokongan rakyat menghampakan. Pengaruh Tok Guru Imran hanya berlegar di sekitar Kampung Lela. Tangan berisi Sagor mengganas. Kampung Lela dijadikan padang jarak padang terkukur. Tok Guru Imran dapat ditawan.

Dalam gelap-gelap begitupun ingatannya masih terang terhadap tragedi yang telah menimpa Kampung Lela.

“Innalillah…” Itulah katanya dulu. Dia pilu. Sedih. Kepada pembawa berita sedih dan anak-anak muridnya dia berseru:

“Sudah kuagak begitulah akhirnya. Jamil, kumpulkan makanan, pakaian dan barang-barang keperluan secukupnya. Kita ke kampung Lela. Mereka perlukan bantuan,” kata Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita kekalahan Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita kekalahan Tok Guru Imran dan Kampung Lela. Di sana sisa-sisa pengikut Tok Guru Imran dikumpulkan. Kampung Lela dibangunkan semula.Kali ini dengan roh perjuangan Tok Guru Saleh.

“Bangunkan pertanian. Hasilkan tanaman dan buah-buahan.”

“Tegakkan sekolah. Bina madrasah. Kita didik anak-anak kita dengan Al Quran dan Sunnah.”

“Susun rumahtangga secara Islam. Didik isteri dan bina keluarga bahagia. Dari situ kembangkan ke tengah masyarakat. Kita bangunkan masyarakat Islam…”

Begitu seruan demi seruan, kerja demi kerja, pembangunan demi pembangunan yang dijalankan oleh Tok Guru Saleh dan anak buahnya.

Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana sedikit demi sedikit, sejengkal demi sejengkal, perjuangannya makin diterima rakyat. Akhirnya pengaruhnya makin meluas. Bukan setakat Kampung Cahaya kampung asalnya dan Kampung Lela bekas kampung Tok Guru Imran, bahkan kini Kampung Teraju, Kampung Pasu, Kampung Senja dan kampung-kampung lain sudah mengikut jejak Tok Guru Saleh dan pengikutnya. Gerakan evolusinya menjalar bagai akar pokok.Lembut tapi memecahkan batu. Perlahan tetapi tiada siapa dapat menghalang.

Masa berlalu cepat,mengubah peristiwa dan kehidupan. Tahun demi tahun berlalu. Belantara jadi sawah. Hutan dipugar jadi kebun. Pulau Delima makin makmur. Tapi kezaliman dan kemungkaran terus bermaharajalela. Datuk Sagor terus bertakhta dengan megah. Hukum Allah terus terabai.

Suasana dan masa turut mengubah manusia. Dan perubahan itu turut berlaku kepada Tok Guru Imran yang sekian lama jadi tawanan. Dari istana Datuk Sagor bertiup berita yang mengejutkan. Tok Guru Imran dibebaskan. Tambah mengejutkan bila dilantik menjadi orang kanan Datuk Sagor. Entah apa yang berlaku selama lima tahun dalam penjara bawah tanah Pulau Delima hingga Tok Guru Imran berubah. Sikap kerasnya jadi lembut bak agar-agar. Suara pekiknya yang lantang dulu kini jadi senandung memuja prinsip kerajaan Sagor. Tak hairanlah kalau dengan sekejap sahaja dia sudah dilantik menjadi orang kanan Kerajaan Datuk Sagor.

Layar ingatan To Guru Saleh terus mengembang. Dan perahu kenangannya terus berlayar di laut fikirannya yang tidak bertepi. Dia teringat bagaimana tanpa diduganya gelanggang perjuangan makin lebar. Di luar istana, di tengah masyarakat ,pengaruhnya terus membumbung. Lebih empat puluh kampung di Pulau Delima telah berubah kepada Islam. Peliknya, Tok Guru Saleh tidak mencapai semua itu dengan kuasa, jauh sekali senjata. Dia tetap dengan kitab kuningnya. Mengajar,mendidik dan memimpin. Amar makruf dan khidmat masyarakatnya dilipat gandakan. Pantang berlaku banjir, anak muridnya yang berlumba-lumba membantu. Begitu juga kalau ada malapetaka yang lain, kumpulan Tok Guru Salehlah yang akan menghulurkan bantuan. Tok Guru Saleh bertakhta di hati rakyat, berkerajaan dalam perlaksanaan syariat, tanpa kuasa dan istana.

Tapi cuaca perjuangan tidak ubah seperti cuaca alam. Hujan, kemarau, ribut dan taufan pasti berlaku. Dan ribut mula melanda perjuangannya. Perjuangan Tok Guru Saleh akhirnya dicurigai dan diancam.

“Datuk Sagor, pengaruh Tok Guru Saleh nampaknya makin kuat. Di empat puluh kampung di Pulau Delima ini hidup rakyat telah bertukar corak. Laga lembu dan laga ayam sudah tidak diminati orang. Tarian Serindit kesukaan kita sudah dilupakan. Mereka juga tidak mahu meminjam lagi dengan tuan tanah peliharaan kita. Kata mereka, memberi dan menerima bunga adalah haram,” lapor Menteri Kanan kerajaan Datuk Sagor.

“Ceh, tak habis-habis. Dulu kita dah ajar Tok Guru Imran secukup – cukupnya. Kita patahkan tilang dan sendi-sendi mereka. Tapi kini bangkit seorang lagi. Seorang lagi mahu jadi wira. Agaknya mereka ketagih sangat hendak bernafas dalam ruang sempit penjara bawah tanah Pulau Delima ni.”

“Kali ini siapa namanya?” tanya Datuk Sagor lagi.

“Tok Guru Saleh. Teman seperjuangan Tok Guru Imran, orang kuat kita.”

“Kita perangi sahaja mereka!”

“Saya rasa tidak Tok. Mereka bergerak secara aman. Apa kata rakyat Pulau Delima ini nanti? Penduduk di empat puluh buah kampung tentu akan tertanya-tanya. Atas alasan apa orang Tok Guru Saleh kita perangi?”

Muka Tok Sagor berkerut. Kebenaran kata-kata menterinya sukar ditolak.

“Kita panggil Tok Guru Imran.”

“Tok Guru Imran sedang bersama Panglima Jaguh di sempadan Negara tok.”

“Bersama Panglima Jaguh? Apa dibuatnya di sana?” tanya Datuk Sagor curiga.Namun prasangkanya ditepis jauh-jauh.

“Utuskan orang ke sana. Beritahu aku hendak bertemu dengannya. Ada hal sangat mustahak. Panglima Jaguh boleh turut serta,” perintah Datuk Sagor.

Sekumpulan tentera berkuda diutus segera memangggil Tok Guru Imran. Selang dua hari mereka pulang bersama dengan Tok Guru Imran dan panglima Jaguh.

“Benar. Jangan kita serang mereka. Lagipun mereka tidak punya senjata. Mereka hanya punya lidah dan gigi sahaja. Tak guna lancarkan peperangan kerana pengikut-pengikut Tok Guru Saleh tak akan melawan. Tok Guru Saleh tidak akan membenarkannya. Saya kenal dia.”

“Kalau begitu bagaimana?”

“Kita tangkap sahaja Tok Guru Saleh. Katakan itu kerana dia enggan membayar cukai…”

Kepala Datuk Sagor mengangguk-angguk. Setuju.

Dalam hati Tok Guru Imran mengingatkan perancangannya telah diatur bersama panglima Jaguh. Faktor Tok Guru Saleh penting untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap Datuk Sagor. Perancangan sudah diatur, tak lama selepas Tok Guru Saleh ditangkap. Dia akan merancang rampasan kuasa dari dalam. Panglima Jaguh sudah menyebelahinya. Walaupun isi rampasan kuasa itu hanyalah kepentingan diri dan melempiaskan dendam kesumat tetapi pada rakyat akan digembar-gemburkan konon rampasan kuasa itu untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan. Tok Guru Saleh akan dibunuh dalam penjara dan akan dihebahkan pembunuhan itu atas arahan Datuk Sagor. Rakyat empat puluh kampung akan marahakn Datuk Sagor. Dan mereka akan berdiri di belakang Tok Guru Imran dan Panglima Jaguh bagi memerangi Datuk Sagor.

Dalam dada Tok Guru Imran menyala dendam yang tidak pernah padam. Dendam yang menghanguskan roh jihad yang disemai oleh Tok Ku Pulau Lebar selama empat puluh tahun. Dendam yang memutuskan tali persahabatan dengan Tok Guru Saleh, teman seperjuangannya dulu. Tok Guru Imran marahkan Datuk Sagor. Kerananya dia dipenjara selama lima tahun di bawah tanah. Diseksa zahir dan batin.Hatinya turut marahkan Tok Guru Saleh. “Saleh terlau pengecut. Pengaruhnya tidak digunakan. Dibiarkannya aku seorang bertempur dengan bala tentera Sagor. Dia khianat. Dia juga syaitan macam Sagor,” jerit hati Tok Guru Imran.

“Darah mereka berdua halal!”

Dendam itu dipendamkannya. Diatur langkah dan rencana untuk meletupkannya. Diam-diam selama lima tahun Tok Guru Imran bergerak dalam istana Sagor. Menabur bakti, menyembunyi kuku dan bisa. Jasa sudah banyak. Dia dijadikan tangan kanan Datuk Sagor.

Tuesday, April 12, 2011

Perbandingan Kerajaan Islam Sepanyol (711M until 1492M) dengan Kerajaan Islam Melayu (Nusantara)



Tempoh bertapak Islam di Sepanyol selama 780 tahun. Ianya runtuh bukan dalam satu hari tetapi satu demi satu daerah jatuh ke tangan musuh dan Kristian.

Tempoh masa Islam jatuh di bumi Sepanyol bermula dari Toledo (1085) adalah hampir 400 tahun sebelum yang terakhir.

Walaupun mulanya ianya satu kerajaan berpusat, namun akhirnya ia berpecah dengan pelbagai pemerintahan yang berbeza. Hingga tapak pemerintahan yang terakhir ialah di Granada.

Senario di Nusantara pula, sebelum penjajahan, pelbagai kerajaan Islam kita adalah bersatu di bawah Khalifah di Damsyik dan di Baghdad. Namun, pelbagai kerajaan Islam itu tumpas satu demi satu oleh penjajah.

Melaka antara yang terawal tumpas. Filipina yang satu ketika kerajaan Melayu Islam kini menjadi negara Kristian selepas keganasan dilakukan oleh tentera Kristian Sepanyol dan Amerika yang membunuh ratusan ribu umat Islam. Negara Patani Darul Salam jatuh kepada keganasan Kerajaan Siam. Begitu juga di wilayah IndoChina. Begitu juga nasib menimpa orang Islam Burma.

Singapura adalah dulu sebuah tanah air Melayu kini sudah menjadi negara asing bagi orang Islam. Satu demi satu pemerintahan Islam di Nusantara jatuh ke tangan musuh Kristian dan penjajah.

Jika melihat Islam di Sepanyol sebagai pengajaran, Islam di Nusantara sudah pun lebih 700 tahun (jika kita ambil tarikh Batu Bersurat di Trengganu) – mungkin lebih awal jika dikira dari bertapaknya Islam di Sumatera dll.

Apakah kita sudah memasuki fasa terakhir untuk kita mempertahankan Islam di Tanah Air kita ini?

Apakah Allah telah mentakdirkan untuk kita sebagai umat untuk menyelamatkan Islam di Tanah Air ini?

Hanya tinggal Indonesia, Brunei dan Malaysia sahaja lagi!

Kita tahu masalah di Indonesia. Dengan Liberalisme, Pluralisme dan kepelbagaian masalah lagi ... fenomena itu turut kini menyusupi ke Tanah Air kita.

Kitalah pertahanan terakhir untuk menyelamatkan Umat Islam dan anak cucu kita agar terpelihara aqidah mereka.

Sedarlah wahai Umat Islam Nusantara

Thursday, April 7, 2011

KENAPA TIDAK BOLEH MEMBENARKAN KALIMAH ALLAH DIGUNAKAN OLEH PIHAK GEREJA

Mungkin bagi sesetengah orang isu ini sudah reda. Tiada lagi perbincangan hangat berhubung keputusan mahkamah membenar pihak gereja mengguna istilah Allah untuk terjemahan kepada tuhan yang disebut dalam bible mereka. Namun, sebagai umat Islam kita mesti sentiasa berwaspada dan terus menghalang usaha pihak gereja untuk mengguna istilah ini dan istilah-istilah lain yang diguna khusus oleh umat Islam di Malaysia.

Kenapa begitu?

Sudah banyak diperbincangankan sebelum ini. Dan sudah banyak sebab diberikan. Tujuan tulisan ini ialah bagi memberi satu bukti kejayaan pihak gereja dalam usaha mengelirukan umat Islam di negara majoriti Islam dengan istilah-istilah yang diguna khusus oleh umat Islam di negara itu.

Hujjah bahawa pihak gereja mempunyai niat jahat dan sengaja mengguna istilah-istilah yang diguna orang-orang Islam demi untuk mengeliru dan untuk memudahkan kerja-kerja dakyah mereka selalu disangkal oleh mereka yang "skeptics" serta mudah menerima "face-value" helah pihak gereja dan tidak percaya bahawa pihak gereja mempunyai rancangan jahat sedemikian.

Dalam keluaran terbaru (Feb 2011), Christianity Today, "cover story" mereka adalah bertajuk Muslims and the "Son of God", membongkar rahsia sebenar niat jahat mereka untuk "use religious vocabulary familiar to Muslims" (mengguna istilah-istilah agama yang biasa untuk umat Islam) supaya memudahkan kerja-kerja dakyah mereka.

Walaupun sebahagian besar dari pihak paderi sendiri yang menentang usaha untuk mengguna istilah-istilah yang "familiar to Muslims, dan mereka ini "…charge their colleagues with compromise that undermines belief in Jesus Christ", namun kerana niat jahat mereka untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam maka penggunaan istilah itu diteruskan.

Dalam perbincangan di kalangan mereka yang melakukan kerja-kerja dakyah Kristian di negara-negara majoriti Islam pada tahun lepas, telah diperakui bahawa usaha mengelirukan umat Islam dengan istilah-istilah ini telah berjaya dengan "many thousands of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus" (ribuan telah berjaya dimurtadkan).

"This nation" ini merujuk kepada sebuah negara Islam yang dirahsiakan namanya dari disiarkan dalam majalah tersebut. [mungkinkah Malaysia?]

Artikel tersebut juga memetik seorang "missiologist" (pakar dakyah mereka yang telah melakukan kerja-kerja ini di Asia dan Afrika semenjak 1977 lagi) yang berkata "Missionaries can live in a Muslim culture for decades, blaming Muslims for being "resistant" to the gospel, when the problem actually lies with linguistic and cultural stumbling blocks". Maka secara tidak langsungnya, kini mereka percaya bahawa mereka telah dapat melepasi satu "halangan" linguistik untuk kerja dakyah kepada umat Islam (di Malaysia).

Dan dia merumuskan "Once these are removed, many Muslims are quite open and interested in knowing more about Jesus".

Kisah penggunaan istilah Allah juga disabitkan sebagai suatu kejayaan mereka untuk membuka minda orang Islam untuk menerima dan membaca bible – "Muslims reading Scripture for the first time won't immediately reject the Bible as foreign to their culture".

Dengan itu, apa yang kita lihat berlaku di negara kita dengan usaha mereka mengguna istilah-istilah seperti Kiblat, Kaabah, solat, dan beberapa lagi adalah di antara usaha mereka untuk "strategically changed particularly challenging phrases".

Menurut tulisan itu lagi, mereka juga ada missionari khas untuk "discipling Muslims" dengan program latihan "teaches missionaries what Muslims believe so they can minister to them effectively".

Oleh kerana itu, sedarlah mereka yang "memperjuangkan" kebebasan untuk mengguna istilah-istilah yang lazimnya digunakan oleh umat Islam di negara ini, bahawa bukannya kebebasan yang mereka cari tetapi kerja memurtad umat Islam yang menjadi matlamat mereka.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Bantahan Penyebaran Al-Kitab oleh PEMBELA

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Kenyataan Media

3 April 2011

PEMBELA Membantah "Formula Idris Jala"

 

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia ingin merakamkan bantahan kami terhadap kenyataan Senator Datuk Seri Idris Jala yang didakwa oleh beliau sebagai keputusan kerajaan dalam menangani isu Bible Melayu. Bantahan kami ini terhadap apa yang kami istilahkan sebagai "Formula Idris Jala" ini adalah berasaskan alasan berikut:

1. Status keputusan ini tidak jelas dan kabur. Kita diberi gambaran bahawa di pihak kerajaan, Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara diberi peranan utama sedangkan isu ini juga melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam. Perbincangan juga hanya diadakan dengan pihak Christian Federation of Malaysia sedangkan pihak-pihak yang mewakili suara umat Islam baik di pihak kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan Islam langsung tidak diambil kira. Kami ingin bertanya adakah ini pendekatan baru yang akan diambil oleh pihak kerajaan dalam menangani isu-isu agama?

2. Seperti yang kami tegaskan dalam kenyataan media yang kami keluarkan pada hari Isnin 28 Mac yang lepas, keputusan melepaskan Bible Bahasa Melayu untuk edaran adalah bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang sedia ada termasuk Perkara 3, 11(4) dan Enakmen-enakmen Kawalan dan Sekatan Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam dan Seksyen 298, 298A Kanun Keseksaan 1936. Oleh itu edaran Bible Bahasa Melayu bukannya suatu keputusan yang boleh dibenarkan begitu sahaja atas tekanan mana-mana pihak.

3. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu ini sejak ia mula dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan Kristian, "Formula Idris Jala" ini jelas merupakan suatu keputusan mengalah dan menunduk kepada strategi konfrontasi, manipulasi dan mendesak yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan Kristian untuk mencapai tujuan mereka dalam isu ini. Pendekatan "Formula Idris Jala" ini adalah satu trend yang tidak sihat serta akan menggalakkan berulangnya pendekatan konfrontasi dan manipulasi digunakan bagi menuntut sesuatu yang hakikatnya bercanggah dengan Perlembagaan, undang-undang, sejarah dan budaya negara.

4. Apa yang turut menyedihkan, "Formula Idris Jala" ini juga langsung tidak mengambil pandangan Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang diwujudkan sendiri oleh kabinet. Beliau nampaknya telah mendahului menteri yang bertanggungjawab iaitu YB Senator DS Jamil Khir dan TS Koh Soo Koon. Kedua-dua menteri yang bertanggungjawab ini untuk menjelaskan kepada pertubuhan-pertubuhan dan individu yang menjadi anggota JKMKAPA kenapa saluran ini dibelakangkan dalam menangani isu ini.

Justeru itu, PEMBELA menuntut agar Formula Idris Jala ini dikaji semula dan diselaraskan kembali dengan peruntukan undang-undang dan persefahaman antara agama dan kaum yang sedia ada. Oleh kerana isu ini boleh ada kaitannya dengan kedudukan Islam dan umat Islam, pandangan wakil-wakil Islam hendaklah diambil-kira dengan saksama dalam mencari formula yang lebih tepat. Jika tuntutan ini tidak diberi perhatian, PEMBELA mempertimbangkan untuk mencabar kesahihan "Formula Idris Jala" ini di Mahkamah.

Selari dengan kenyataan media kami bertarikh 28 Mac 2011, kami menyeru semua pemimpin masyarakat di negara untuk kembali menghormati persefahaman tentang kedudukan Islam dan hubungan antara agama di negara kita demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian bersama.

 

Dr. Yusri bin Mohamad

Jurucakap PEMBELA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, March 21, 2011

Jika Bukan Anwar Kenapa Panik?

Hari ini (Isnin/ 21 Mac 2011) jam 5 petang, satu sidang media isu video akan diadakan di Ibu Pejabat PKR di Damansara. Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi dalam kenyataannya mengatakan video seks yang sedang heboh di dakwa " A Doctored Video of Anwar"...

Apa yang berlaku sebenarnya yg membuat PKR x senang duduk? Owh...rupanya jam 13.25 tengahari tadi heboh tentang pendedahan terbaru mengenai satu video seks melibatkan seorang tokoh pembangkang dengan wanita pelacur di sebuah bilik hotel...Kemudian ada isu dimana seorang yang dikenali sebagai Datuk T yang mendesak tokoh politik dan isteri letak jawatan. CUBA TEKA SIAPA TOKOH PEMBANGKANG YANG ISTERINYA JUGA ORANG POLITIK? Kemudian ada satu video telah ditayangkan pada pengarang-pengarang media oleh Datuk T dan seorang darinya berkata CUKUP KENAL wajah dalam video tersebut...apa seterusnya? Kita tungguuuu...berita selanjutnya....

Relax...jangan ler panik der...kalau bukan Pak Syeikh jangan la panik...Errrr...DNA bila nak bagi?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Saturday, March 12, 2011

JURUTERA DIATAS BUKIT

(Ini ada hasil tulisan guru saya, Ustaz Pahrol Md Juoi, rakaman perbualan beliau dan anaknya. Semoga diri saya juga mendapata menafaat dari nasihat seorang ayah kepada anaknya)

Setelah kembali ke KL malam semalam, saya terus menangani kerja-kerja penulisan seawal pagi ini. Buku Mukmin Profesional: Celik Mata hati sudah 80% selesai. Kali ini buku yang saya tulis agak berat dan sarat dengan seruan, gagasan, panduan dan hujah-hujah yang praktikal.

Program yang saya laksanakan bersama teman-teman di Selesa Beach Resort, Port Dickson semalam memberi saya input-input baru untuk ditangani dan diungkaikan. Alhamdulillah, perjuangan untuk membaiki diri dan ketrampilan yang tidak berpenghujung ini nampaknya sering mendapat pencerahan.

Walaupun kekadang terlalu banyak pengalaman peribadi untuk dikongsi, tetapi saya seboleh mungkin akan menjauhkan diri daripada menulisnya dalam blog ini. Lalu, acapkali sesuatu yang bersifat peribadi itu saya tambah rencah-rencahnya agar lebih kelihatan umum agar lebih mudah dikongsi dan dihayati.

Namun, ingin saya tegaskan apa yang saya tulis hakikatnya ialah usaha saya mengenengahkan kebenaran, yakni kebenaran dari segi prinsipnya dan kebenaran daripada segi kisah dan faktanya.

Kisah yang saya tulis, "Seorang Jurutera di atas bukit" misalnya ialah kisah dialog saya dengan anak lelaki setelah 3 bulan dia bekerja. Kebimbangan hati saya agar anak tidak terjebak dalam rasuah menyebabkan kisah itu saya nukilkan. Orang muda khususnya, bila mula mendapat kerja yang baik dan berpendapatan agak tinggi sedikit akan dilanda pelbagai godaan. Dan kita sedia maklum, ujian kesenangan lebih getir dan bahaya berbanding ujian kesusahan. Dalam sukar masih ramai yang mampu sabar, tetapi dalam senang, ramai yang lupa syukur, lalu kecundang.

Begitu juga apabila ada seorang lagi anak yang berdepan dengan dilema samada memilih bidang pengajian yang lebih sukar dan  mencabar atau yang lebih mudah,  saya mula bersembang-sembang untuk "membetulkan" persepsinya. Saya ingatkan, jangan mengejar "glamour" .  Pandangan diri terhadap diri sendiri lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap kita.  Ingat kata Ibn Jauzi, petanda orang sakit jiwa ialah apabila dia lebih percaya penilaian orang ramai berbanding pandangan dirinya sendiri.

Sebab itulah ramai orang yang ingin "mempamerkan" betapa dia berjaya dan bahagia walaupun dia sedar jauh di sudut hatinya bahawa dia sebenarnya tidak bahagia. Bergambar di khalayak ramai sebagai pasangan yang bahagia, tetapi bila pulang ke rumah begitu sukar bermesra sekalipun untuk bertegur sapa. Oh, dunia… akulah yang paling bahagia, dabik dadanya di hadapan ramai. Namun ketika sunyi sendiri, dia mengeluh, aduh… deritanya hidupku! Ini bukan cerita artis dan orang berkuasa sahaja, tetapi "orang biasa-biasa" pun ramai yang kena!

Lalu saya ingatkan anak saya (dan tentunya anak tuan-tuan juga), jangan semata-mata ingin digelar doktor, arkitek atau sesiapa sahaja… menyebabkan pandangan mata hati kita menjadi kabur. Ada masanya, saya "terpaksa" menceritakan kesalahan dan kesilapan masa lampau kepada anak-anak. Malu juga dirasakan, tetapi biarlah…  bukankah sebagai ibu-bapa kita selamanya akan rela jadi "jembatan" untuk dipijak oleh anak-anak dalam meniti kehidupannya?

Kisah-kisah itu sebahagiannya telah saya tulis dalam buku "Nota Hati Seorang Lelaki". Pengalaman menjadi anak sangat berharga ketika kita sendiri menjadi bapa. Walaupun kisah-kisah itu kekadang biasa-biasa sahaja, namun saya tulis jua – saya relakan ia dijadikan cerminan kepada kisah-kisah anda yang mungkin lebih istimewa. Dalam program di PD temph hari saya banyak berbual dengan "orang-orang besar" yang mempunyai kisah tragis dan tragedinya tersendiri. Dan saya sikerdil ini, telah berazam untuk menulis semua itu dengan lorekan kata dan rasa saya sendiri.

Bila kita memandang dengan rasa cinta… segalanya akan indah-indah saja. Tetapi sekali-sekala (malah kekadang selalu) tanpa disedari, kita memandang dengan rasa benci… maka segalanya seolah-olah bertukar wajah. Yang indah jadi gundah. Yang ceria bertukar duka. Padahal, yang berubah bukan apa yang kita lihat… tetapi mata yang melihat. Dan mata itu berubah kerana jiwa kita berubah. Ya, hujan di kacamata yang cinta terlihat bagaikan mutiara. Manakala di mata yang benci umpamakan darah atau air mata!

Pada mereka yang sering bertanya, apakah kisah-kisah yang saya tulis itu kisah saya? Inilah jawapan saya (dan tentunya jawapan ini juga masih umum sifatnya: "Penulis sejati memang menulis dirinya. Tetapi dia juga manusia… yang punya kekuatan dan kelemahan, kebaikan dan keburukan, pada hal khalayak pastinya inginkanyang baik-baik dan indah-indah sahaja. Lalu dia terus bermujahadah… menulis kebaikan sekalipun belum sepenuh dimilikinya dan dia akan "memendamkan" kejahatan dengan penuh kesedaran bahawa dia sedang berjuang untuk membuangnya. Dia ingin menghidangkan yang terbaik tanpa menjadi seorang munafik!"

Untuk pembaca yang sering ingin "mendengar" dentingan gentarasa… ku tinggalkan kalian dengan sebuah tulisan bertajuk: SEORANG JURUTERA DI ATAS BUKIT. Kisah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, bila keikhlasan dicabar oleh kepentingan diri.

Cerita ini sering didengar apabila membicarakan tentang keikhlasan. Ia ditulis oleh Al Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin. Seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.

Di pertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan tidak puas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.

Akhirnya syaitan mengaku kalah dan menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan bersedia memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan yang dimaksudkan. Lelaki soleh itu termakan hasutan dan bujukan syaitan lalu pulang kembali ke rumahnya.

Esok pagi, apabila dia bangun dari tidur di dapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantalnya. Benar, syaitan telah menunaikan janjinya. Begitulah keadaannya pada pagi hari kedua. Dinar emas sudah ada di bawah bantalnya seperti hari pertama. Tetapi pada hari ketiga, dinar emas sudah tidak ada lagi. Ternyata, syaitan mula menipu.

Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mengambil kapaknya untuk meneruskan niat awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki itu menahannya lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dicubanya sekali lagi, dia tetap kalah. Malah dicubanya berkali-kali, dia tetap kalah.

Ketika lelaki itu bertanya kenapa dia kalah dan kenapakah syaitan sudah jadi semakin gagah? Syaitan menjawab, "engkau kalah kerana kali ini niat mu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas." Ya, lelaki itu menjadi lemah kerana niatnya tidak ikhlas. Tahulah kita rupa-rupanya keikhlasan itu adalah satu kekuatan dan kehormatan.

Cerita di atas saya ceritakan kembali kepada anak yang baru bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pembinaan infrastruktur. Saya bimbang takut-takut dia terjebak dengan rasuah. Dia masih terlalu muda untuk mengenal sepak terajang dunia pekerjaan.
"Itu cerita lama, tapi masih relevan," nasihat saya.
"Sekarang ni tidak ada lagi syaitan yang menyamar ayah," balasnya sambil tersenyum.
"Eh, ada… masih ada," balas saya.
"Betul ke?"
"Betul. Syaitan yang berupa manusia. Kawan ayah pernah terjumpa," ujar saya.

"Macam mana tu?" tanya anak saya dengan penuh minat.
"Kawan ayah juga seorang jurutera. Ini cerita lama. Berlaku pada peringkat awal sewaktu dia mula masuk bekerja."
"Macam saya sekarang ni?"
Saya mengangguk. Biar saya ceritakan segala-galanya buat peringatan dan amaran kepadanya.

"Satu hari dia ditugaskan untuk melakukan pengawasan dan membuat laporan tentang pembinaan satu projek pembinaan jalan raya oleh sebuah syarikat yang diamanahkan…" saya memulakan cerita.
Ya, saya masih ingat bagaimana kawan saya menceritakan bagaimana hari itu dia datang bersama seorang lagi kawannya yang juga seorang jurutera. Mereka sama-sama muda. Sama-sama bersemangat baru.

Mereka terkejut apabila mahu pulang dari lokasi tersebut, di dalam bakul motosikal (mereka belum mampu membeli kereta) masing-masing ada satu sampul berisi wang. Bukan sedikit, tetapi banyak. Rupa-rupanya itu "hadiah" daripada syarikat pembinaan berkenaan. Apabila ditanya mengapa dan untuk apa hadiah itu diberikan? Wakil syarikat itu berkata, "you muda lagi. Baru kerja, tentu mahu pakai duit. Ini hadiah perkenalan daripada kami. Kita akan selalu bekerjasama nanti."

Kedua-duanya pulang ke rumah masing-masing dengan perasan yang pelbagai. Kawan saya sedar bahawa "hadiah" itu hakikatnya rasuah. Walaupun kawan saya itu kesempitan belanja (kebetulan emaknya sakit pada waktu itu), dia tetap tidak sedap hati untuk menerima pemberian itu. Esok pagi sekali lagi dia lokasi pembinaan dan menyerahkan semula sampul yang berisi wang tersebut.

"Apa you tak mahu pakai wang?"
"Tak apalah."
"You tak mahu kerjasama?"
"Saya akan beri kerjasama. Tanpa hadiah ini lebih mudah kita kerjasama. You tak segan dengan saya, saya pun tak segan dengan you," kata kawan saya.

" Apa kesudahan cerita tu ayah?" tanya anak saya penuh minat. Saya tahu cerita itu sangat rapat dengan situasi semasanya.
"Malangnya, kawannya yang seorang lagi tu menerima hadiah tersebut. Ketika ditanya mengapa, dia ada rasionalnya sendiri…"
"Apa rasionalnya?"
"Itu bukan rasuah tapi hadiah. Bukan kita minta, orang nak bagi. Nabi pun terima hadiah. Itulah hujah kawannya yang seorang lagi tu."

"Eh, bagus juga hujahnya ya?" balas anak saya sinis.
"Syaitan memang kreatif. Macam-macam tipu dayanya kepada manusia…"
Anak saya diam.
Saya menambah lagi, " di satu negara yang pernah ayah pergi dahulu mereka tidak menamakan rasuah, mereka tukar istilah jadi kerjasama. Bukan rasuah, tapi kerjasama. Di satu negara lain pula, rasuah dianggap "skill" dalam perniagaan. Orang sudah tidak memandangnya buruk. Ia dianggap satu strategi untuk melancarkan urusan!"

"Apa kesudahan cerita kawan ayah tadi?" kata anak saya mengingatkan.
"Dia dihormati, disegani dan kadangkala ditakuti. Ke mana sahaja dia membuat pengawasan, kontraktor-kontraktor yang diamanahkan akan memberi kerjasama. Sekarang dia jadi Ir dan ketua jurutera!"
"Kawannya yang seorang lagi macam mana?"
"Cerita sedih. Sejak dia menerima rasuah, wakil syarikat yang memberinya dahulu buat tak tahu sahaja. Kehadirannya tidak dipedulikan. Apalagi kata-kata dan tegurannya. Orang tahu dia dah "termakan". Dia tak lama di syarikat tempat dia bekerja. Khabarnya sering bertukar-tukar tempat kerja," jawab saya.

"Dah dapat kaitkan cerita-cerita tu?"
"Cerita yang mana ayah?"
"Cerita ikhlas versi lama dan baru."
"Rupa-rupanya orang yang ikhlas tu kuat ya ayah…"
"Ya, bukan kuat fizikalnya tetapi kuat hatinya. Tidak makan bujukan. Tahan dengan godaan."
"Rupa-rupanya taktik dan strategi syaitan amat licik. Hulur dulu, rentap kemudian."

"Dulu dia pakai dinar emas bawah bantal. Sekarang dia guna sampul surat, kad ATM, belanja perubatan, percutian luar negara, perempuan dan macam-macam lagi."
"Sekarang saya faham apa di sebalik simbolik syaitan menyamar jadi rupa manusia," kata anak saya yakin.
" Manusia dah jadi syaitan. Pemikiran, tindakan dan percakapannya penuh muslihat."

"Mereka menghulur untuk lebih banyak menerima. Dia rasuah sedikit, tetapi dia ambil balik banyak. Nanti dia akan tipu ukuran pembinaan, kadar bahan mentah, upah pekerja dan macam-macam…" kata anak saya yang mula menjiwai realiti pekerjaannya.
"Dan kalau orang yang diamanahkan untuk buat pengawasan sudah terjerat mereka akan buat sewenang-wenangnya. Tak kan dia berani membuat laporan yang telus dan jujur. I jaga you, you jaga I. Itulah maksud kerjasama yang dikatakan sejak awal."

"Baguslah kalau kamu faham. Apa pun ingat, syaitan tak akan mampu melawan orang yang ikhlas."
"Rupa-rupanya ikhlas itu penting bukan sahaja dalam solat dan puasa…"
"Ikhlas itu teras dan asas dalam semua ibadah. Baik yang berupa fardu Ain, mahu pun yang fardu kifayah. Yang habluminallah, juga habluminanas."
"Tapi cerita-cerita versi lama sukar nak dikaitkan dengan realiti terkini. Betul ke ayah?"
"Tidak juga, kalau kita jujur dengan sejarah, pasti banyak "ibrah" yang terserlah. Ada cerita yang lebih lama daripada cerita yang dinukilkan oleh imam Ghazali tu.
Dia termenung.

"Tahu cerita nabi Nuh AS?"
"Tentang penderhakaan kaumnya? Tentang kesabarannya berdakwah ratusan tahun?"
"Bukan sudut itu. Tapi sudut yang ada kena mengena dengan cerita-cerita kita sebelum ini…"
"Saya tak dapat tangkap maksud ayah," katanya berterus-terang.
"Cerita kapal nabi Nuh. Baginda hakikatnya jurutera macam kamu juga."
"Nabi Nuh lebih hebat ayah!"

"Nabi dan rasul adalah teladan sepanjang zaman. Mari kita teladani Nuh AS bukan sahaja di sudut ketulusan hatinya dalam berdakwah tapi dalam bidang pekerjaannya juga."
"Macam mana tu ayah?"
"Nabi Nuh di samping misi utamanya berdakwah, dia juga seorang jurutera dan arkitek yang membina kapal. Hebatkan? Kapal dibina di atas bukit. Kapal yang begitu teguh dan kukuh. Kapal yang tahan menahan gelombang banjir bertaraf "super". Jutaan kali lebih dahsyat daripada Tsunami yang baru lalu. Bayangkan puncak yang tertinggi di dunia pun tergenggelam. Kalau gunung Everest sudah ada pada waktu itu, Everest pun tenggelam. Banjir seluruh dunia. "

Setelah agak lama kami terdiam (mungkin terbayang betapa hebatnya banjir yang telah melanda dunia era Nabi Nuh itu), saya bertanya, "kamu ada dengar kapal nabi Nuh retak? Kamu ada dengar atapnya bocor?"
"Tidak ayah…"
"Orang sekarang berbeza. Buat lebuh raya retak. Buat stadium runtuh. Buat atap bangunan canggih-canggih tapi bocor.. tidak seperti kapal Nabi Nuh."
"Kita tidak meneladani Nabi Nuh ayah," balas anak saya perlahan.
"Mungkin kita kurang kepakaran. Mungkin juga kurang amanah."
"Atau mungkin kurang kedua-duanya sekali."

"Ayah mengingatkan sahaja. Bila bekerja ikhlaslah. Insya-Allah, rezeki berkat dan reda Allah pun dapat. Jadilah seperti Nabi Nuh, yang bukan sahaja ada kepakaran tetapi juga ada kejujuran. Dialah jurutera sejati yang tidak termakan pujuk rayu dan ejekan manusia."
Anak saya termenung panjang. Doa saya, mudah-mudahan dia, jurutera, arkitek dan juru ukur bahan muslim yang lain menjadi pekerja yang ikhlas. Amin.

Saya cuba-cuba mengimbau, bagaimanalah agaknya Nabi Nuh AS menghadapi ejekan kaumnya. Baginda diketawakan. Dinajisi struktur binaan awal kapalnya. Laut dan sungai terlalu jauh, di bina pula kapalnya di atas bukit. Cuaca cerah, belum ada teknologi ramalan berlakunya Tsunami, banjir besar ataupun taufan. Tanpa ganjaran, dia bersendirian. Tanpa menghiraukan itu semua, dia terus bekerja dan bekerja… kerana Allah. Ah, ikhlasnya kau wahai nabiyallah!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.