“TOK GURU, kita sudah terkepung. Bala tentera Datuk Sagor sudah sedia  menyerang. Mereka tak sabar lagi untuk memerangi kita. Mereka hanya  menunggu arahan Tok,” kata Jamil murid kesayangannya.
 Dia tenang. Kata-kata Jamil itu sedikitpun tidak menggoncangkan  hatinya. Jiwanya teguh. Bagai tiang madrasah kesayangannya yang terpacak  kukuh.
 Perlahan-lahan Tok Guru Saleh bersuara, “Aku tahu. Bersabarlah. Yang  mereka hendakkan aku. Biar aku menyerah. Biar tak ada darah yang tumpah.  Kita berserah kepada Allah Taala.”
 Sekali-sekala di dalam gelap muncul wajah Tok Guru Imran, sahabat  sepengajiannya waktu menuntut ilmu dengan Tok Ku Pulau Lebar empat puluh  tahun yang lalu.
 “Kerajaan Sagor itu mungkar. Pemerintah jahiliah warisan Abu Jahal  kita gulingkan sahaja. Ayuh kita kumpulkan senjata dari sekarang Saleh.  Kita amuk dan tegakkan hukum Tuhan atas runtuhan jahiliah itu nanti.”
 Masih basah di ingatannya pada kata-kata Imran. Dalam kenangan Tok  Guru Saleh masih terbayang raut wajah Tok Guru Imran yang merah, garang  dan berapi-api ketika mengajaknya bergabung tenaga melancarkan Perang  Sabil ke atas Kerajaan Datuk Sagor.
 “Sudah ada di kalangan tenteramu yang menzalimi puasa siang dan  malam?” tanya Tok Guru Saleh. Pertanyaan itu memulakan silat lidah  antara Tok Guru dengan sepengajian itu.
 Tok Guru Imran diam. Pertanyaan itu ternganga tidak berjawab.
 “Atau melazimi puasa siang walaupun tak sembahyang malam?”
 Tok Guru Imran masih terdiam.
 “Atau melazimi sembahyang malam walaupun tak puasa siang?”
 Tok Guru Imran masih terus diam.
 “Kau belum bersedia. Kalau syaitan dan nafsu belum diperangi, jangan  berani memerangi orang lain. Kecundang kita, buruk padahnya. Terhina di  dunia, terhina di akhirat. Lagipun itu bukan caranya menegakkan Islam,”  syarah Tok Guru Saleh bertubi-tubi. Walaupun kata-katanya bermaksud  dalam dan tersirat tetapi tidak ada kasar terluah. Perlahan dan lembut.
 Masih terbayang dalam ingatannya  bagaimana murid-murid kanan Tok Guru Imran yang berada di belakang mencebik.
 “Usah layani dia Tok. Dia pengecut. Dia gementar dengan pedang-pedang  tentera Pulau Delima. Dia redha dengan kemungkaran Datuk Sagor.”
 Tok Guru Saleh berdiam diri.
 “Kau jumud. Tidak tegas…!” lantang tuduhan Tok Guru Imran kepadanya.
 “Tegas dan keras berbeza.  Padaku, kau keras.”
 “Kau tuduh aku tidak tegas?”
 “Masa akan menjawabnya,” balas Tok Guru Saleh perlahan.
 Mata garang Tok Guru Imran merenung kitab-kitab kuning atas para-para  tepi dinding madrasah tempat pertemuan mereka. Ingatannya pada Tok Ku  Pulau Lebar mengusik hatinya.
 “Kau masih mengajar kitab-kitab ini Saleh?”
 “Itu kan amanah Tok Ku yang sama-sama kita terima,”balas Tok Guru Saleh.
 “Dari dulu kau masih bersenjatakan lidah.”
 “Lidah lebih tajam dari mata pedang. Kau tentu ingat kata-kata Sayidina Ali.”
 “Setiap kali aku teringatkan Sayidina Ali, aku teringatjan pedang  Zulfakar.  Aku teringat darah Sayidina Hussin yang tumpah di Karbala.”  tegas Tok Guru Imran terus terang. Misai tebalnya bergerak-gerak. Ekor  serban hitamnya terbuai-buai ditiup angin yang mencuri-curi masuk dari  tingkap surau yang berukir indah itu.
 “Lalu Datuk Sagor mahu kau jadikan ‘Yazid’ barumu?” umpan Tok Guru Saleh.
 “Ya. Aku idamkan kepalanya. Dia syaitan besar tanah bertuah ini.  Kalau tidak kerananya hukum Allah telah tegak di sini.” Mata Tok Guru  Imran merah menyala-nyala. Nafasnya mendengus-dengus. Panas. Tangannya  menggengam erat hulu keris panjang yang tersisip di pinggangnya.
 “Kau sudah punya hati seperti Sayidina Ali? Hati yang boleh  meletakkan pedangnya kerana diludah oleh musuhnya?” sela Tok Guru Saleh.
 Tok Guru Imran diam.
 “Kau ingat cerita Tok Ku dulu? Sayidina Ali yang sudah mengalahkan  nafsunya. Dia yang berkata, aku letakkan pedang ini kerana tadinya aku  marah kerana nafsuku. Bukan lagi kerana Allah,” sambung Tok Guru Saleh  lagi.
 “Kau dengar itu Imran?” desaknya lagi.
 “Pada kau hati yang macam Hussin sahaja layak memegang Zulfakar dan memerangi Yazid?” tanya Tok Guru Imran sinis.
 “Ya,” balasnya tegas.
 “Sampai bila kita mesti tunggu sampai memiliki hati macam itu?  Sepuluh tahun? Seratus tahun? Seribu tahun? Sedangkan Datuk Sagor terus  bermaharajalela! ” pintas Tuk Guru Imran.
 Dalam gelap-pekat penjara bawah tanah itu Tok Guru Saleh terus  berfikir. Ruang kepalanya masih diterjah peristiwa pertemuannya dengan  Tok Guru Imran. Gigitan nyamuk di leher dan telinganya dibiarkan sahaja.  Sudah lali. Malah dalam gelap begitu sejak tiga bulan yang lalu nyamuk  dan pijat sudah jadi sahabatnya.
 “Jangan kau libatkan Sagor sahaja. Tapi lihat dalam kumpulanmu.  Mengapa belum tegak Islam yang kau cuba citakan itu?” Mencelah lagi  ingatan itu dalam kepalanya.
 Dia tidak akan lupa wajah Tok Guru Imran dalam pertemuan yang kian  panas itu. Masih terbayang dalam ruang matanya bagaimana tangan-tangan  anak murid Tok Guru Imran sudah menggengam hulu keris. Kalaulah anak  muridnya tidak bersabar, lantai madrasah mungkin akan dibasahi darah.  Mujurlah dia bersabar, kalau tidak pejuang Islam akan beramuk sesama  sendiri.
 “Kami sibuk berjuang. Bukan masanya menadah kitab. Ini masanya  senjata berkata-kata. Ini lebih fardu sekarang.” Tok Guru Imran masih  tidak mahu mengalah.
 “Tapi kampung Lela terus mengatur hidup. Bagaimana pertanian, jual  beli, pendidikan dan kenduri-kendara di sana? Sudah diatur secara  Islam?”
 “Kampung Lela, kampungku, kampung pejuang. Urusan hidup terpulang  kepada diri masing-masing. Urusanku cuma memimpin gerakan bawah tanah  bersenjata. Kuajar mereka ilmu perwira. Kudidik bermain senjata,” jelas  Tok Guru Imran lagi.
 “Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam?  Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum bertegak?” Tok Guru  Saleh memerangkap.
 “Jadi kau minta aku perangi diriku dan kumpulanku dulu?” Tok Guru Imran menyimpul.
 “Kan itu perjuangan yang lebih besar, berjuang menentang hawa nafsu? Kau tentu ingat pesan Tok Guru kita.”
 “Kekejaman Sagor tak boleh dibiarkan.Kita mesti berani menyatakan  kebenaran di depan penguasa yang zalim…”cabar Tok Guru Imran terus  menerus.
 “Aku juga begitu. Tapi kupilih menyatakannya di dengan sikap. Dengan  tindakan. Dengan hasil kerja yang manfaat,” jelas Tok Guru Saleh.  Perlahan. Cuba menenangkan suasana yang makin panas.
 “Tapi aku pilih senjata. Aku pilih kuasa,” sambut Tok Guru Imran makin menggelegak.
 “Aneh, Imran. Kau asyik salahkan Sagor. Salahkan musuh. Tapi kau juga  kering dari apa yang kau tuntut dari Sagor,” bidas Tok Guru Saleh.
 •            •            •           •            •
 Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana rombongan Tok Guru Imran yang  datang memujuk mereka untuk memerangi pimpinan kerajaan pimpinan Datuk  Sagor pulang sia-sia. Dia tetap tidak rela menukar prinsip perjuangannya  walaupun dipujuk, diejek dan diperolok-olokkan oleh Tok Guru Imran dan  murid-murid kanannya.
 Dia masih ingat, dua bulan kemudian Pulau Delima gempar. Tok Guru  Imran melancarkan serangan. Satu revolusi dilancarkan.Pedang, kelewang,  lembing dan keris menghirup darah. Korban berjatuhan. Istana Datuk Sagor  cuba diambil alih oleh anak murid Tok Guru Imran. Namun serangan itu  gagal. Sagor terlalu perkasa. Walaupun berjuang dengan berani tetapi  kumpulan Tok Guru Imran kekurangan senjata. Lagipun rakyat tidak turut  serta memberontak. Rakyat terpinga-pinga. Gerakan bawah tanah  diselubungi misteri. Sokongan rakyat menghampakan. Pengaruh Tok Guru  Imran hanya berlegar di sekitar Kampung Lela. Tangan berisi Sagor  mengganas. Kampung Lela dijadikan padang jarak padang terkukur. Tok Guru  Imran dapat ditawan.
 Dalam gelap-gelap begitupun ingatannya masih terang terhadap tragedi yang telah menimpa Kampung Lela.
 “Innalillah…” Itulah katanya dulu. Dia pilu. Sedih. Kepada pembawa berita sedih dan anak-anak muridnya dia berseru:
 “Sudah kuagak begitulah akhirnya. Jamil, kumpulkan makanan, pakaian  dan barang-barang keperluan secukupnya. Kita ke kampung Lela. Mereka  perlukan bantuan,” kata Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita  kekalahan Tok Guru Saleh sebaik sahaja mendengar berita kekalahan Tok  Guru Imran dan Kampung Lela. Di sana sisa-sisa pengikut Tok Guru Imran  dikumpulkan. Kampung Lela dibangunkan semula.Kali ini dengan roh  perjuangan Tok Guru Saleh.
 “Bangunkan pertanian. Hasilkan tanaman dan buah-buahan.”
 “Tegakkan sekolah. Bina madrasah. Kita didik anak-anak kita dengan Al Quran dan Sunnah.”
 “Susun rumahtangga secara Islam. Didik isteri dan bina keluarga  bahagia. Dari situ kembangkan ke tengah masyarakat. Kita bangunkan  masyarakat Islam…”
 Begitu seruan demi seruan, kerja demi kerja, pembangunan demi pembangunan yang dijalankan oleh Tok Guru Saleh dan anak buahnya.
 Tok Guru Saleh masih ingat bagaimana sedikit demi sedikit, sejengkal  demi sejengkal, perjuangannya makin diterima rakyat. Akhirnya  pengaruhnya makin meluas. Bukan setakat Kampung Cahaya kampung asalnya  dan Kampung Lela bekas kampung Tok Guru Imran, bahkan kini Kampung  Teraju, Kampung Pasu, Kampung Senja dan kampung-kampung lain sudah  mengikut jejak Tok Guru Saleh dan pengikutnya. Gerakan evolusinya  menjalar bagai akar pokok.Lembut tapi memecahkan batu.  Perlahan tetapi  tiada siapa dapat menghalang.
 Masa berlalu cepat,mengubah peristiwa dan kehidupan. Tahun demi tahun  berlalu. Belantara jadi sawah. Hutan dipugar jadi kebun. Pulau Delima  makin makmur. Tapi kezaliman dan kemungkaran terus bermaharajalela.  Datuk Sagor terus bertakhta dengan megah. Hukum Allah terus terabai.
 Suasana dan masa turut mengubah manusia. Dan perubahan itu turut  berlaku kepada Tok Guru Imran yang sekian lama jadi tawanan. Dari istana  Datuk Sagor bertiup berita yang mengejutkan. Tok Guru Imran dibebaskan.  Tambah mengejutkan bila dilantik menjadi orang kanan Datuk Sagor. Entah  apa yang berlaku selama lima tahun dalam penjara bawah tanah Pulau  Delima hingga Tok Guru Imran berubah.  Sikap kerasnya jadi lembut bak  agar-agar. Suara pekiknya yang lantang dulu kini jadi senandung memuja  prinsip kerajaan Sagor. Tak hairanlah kalau dengan sekejap sahaja dia  sudah dilantik menjadi orang kanan Kerajaan Datuk Sagor.
 Layar ingatan To Guru Saleh terus mengembang. Dan perahu kenangannya  terus berlayar di laut fikirannya yang tidak bertepi. Dia teringat  bagaimana tanpa diduganya gelanggang perjuangan makin lebar. Di luar  istana, di tengah masyarakat ,pengaruhnya terus membumbung. Lebih empat  puluh kampung di Pulau Delima telah berubah kepada Islam. Peliknya, Tok  Guru Saleh tidak mencapai semua itu dengan kuasa, jauh sekali senjata.  Dia tetap dengan kitab kuningnya. Mengajar,mendidik dan memimpin. Amar  makruf dan khidmat masyarakatnya dilipat gandakan. Pantang berlaku  banjir, anak muridnya yang berlumba-lumba membantu. Begitu juga kalau  ada malapetaka yang lain, kumpulan Tok Guru Salehlah yang akan  menghulurkan bantuan. Tok Guru Saleh bertakhta di hati rakyat,  berkerajaan dalam perlaksanaan syariat, tanpa kuasa dan istana.
 Tapi cuaca perjuangan tidak ubah seperti cuaca alam. Hujan, kemarau,  ribut dan taufan pasti berlaku. Dan ribut mula melanda perjuangannya.  Perjuangan Tok Guru Saleh akhirnya dicurigai dan diancam.
 “Datuk Sagor, pengaruh Tok Guru Saleh nampaknya makin kuat.  Di empat  puluh kampung di Pulau Delima ini hidup rakyat telah bertukar corak.  Laga lembu dan laga ayam sudah tidak diminati orang.  Tarian Serindit  kesukaan kita sudah dilupakan. Mereka juga tidak mahu meminjam lagi  dengan tuan tanah peliharaan kita. Kata mereka, memberi dan menerima  bunga adalah haram,” lapor Menteri Kanan kerajaan Datuk Sagor.
 “Ceh, tak habis-habis. Dulu kita dah ajar Tok Guru Imran secukup –  cukupnya. Kita patahkan tilang dan sendi-sendi mereka. Tapi kini bangkit  seorang lagi. Seorang lagi mahu jadi wira. Agaknya mereka ketagih  sangat hendak bernafas dalam ruang sempit penjara bawah tanah Pulau  Delima ni.”
 “Kali ini siapa namanya?” tanya Datuk Sagor lagi.
 “Tok Guru Saleh. Teman seperjuangan Tok Guru Imran, orang kuat kita.”
 “Kita perangi sahaja mereka!”
 “Saya rasa tidak Tok. Mereka bergerak  secara aman. Apa kata rakyat  Pulau Delima ini nanti? Penduduk di empat puluh buah kampung tentu akan  tertanya-tanya. Atas alasan apa orang Tok Guru Saleh kita perangi?”
 Muka Tok Sagor berkerut. Kebenaran kata-kata menterinya sukar ditolak.
 “Kita panggil Tok Guru Imran.”
 “Tok Guru Imran sedang bersama Panglima Jaguh di sempadan Negara tok.”
 “Bersama Panglima Jaguh? Apa dibuatnya di sana?” tanya Datuk Sagor curiga.Namun prasangkanya ditepis jauh-jauh.
 “Utuskan orang ke sana. Beritahu aku hendak bertemu dengannya. Ada  hal sangat mustahak. Panglima Jaguh boleh turut serta,” perintah Datuk  Sagor.
 Sekumpulan tentera berkuda diutus segera memangggil Tok Guru Imran.  Selang dua hari mereka pulang bersama dengan Tok Guru Imran dan panglima  Jaguh.
 “Benar. Jangan kita serang mereka. Lagipun mereka tidak punya  senjata. Mereka hanya punya lidah dan gigi sahaja. Tak guna lancarkan  peperangan kerana pengikut-pengikut Tok Guru Saleh tak akan melawan. Tok  Guru Saleh tidak akan membenarkannya. Saya kenal dia.”
 “Kalau begitu bagaimana?”
 “Kita tangkap sahaja Tok Guru Saleh. Katakan itu kerana dia enggan membayar cukai…”
 Kepala Datuk Sagor mengangguk-angguk. Setuju.
 Dalam hati Tok Guru Imran mengingatkan perancangannya telah diatur  bersama panglima Jaguh. Faktor Tok Guru Saleh penting untuk  mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap Datuk Sagor. Perancangan sudah  diatur, tak lama selepas Tok Guru Saleh ditangkap. Dia akan merancang  rampasan kuasa dari dalam. Panglima Jaguh sudah menyebelahinya. Walaupun  isi rampasan kuasa itu hanyalah kepentingan diri dan melempiaskan  dendam kesumat tetapi pada rakyat akan digembar-gemburkan konon rampasan  kuasa itu untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan. Tok Guru Saleh  akan dibunuh dalam penjara dan akan dihebahkan pembunuhan itu atas  arahan Datuk Sagor. Rakyat empat puluh kampung akan marahakn Datuk  Sagor. Dan mereka akan berdiri di belakang Tok Guru Imran dan Panglima  Jaguh bagi memerangi Datuk Sagor.
 Dalam dada Tok Guru Imran menyala dendam yang tidak pernah padam.  Dendam yang menghanguskan roh jihad yang disemai oleh Tok Ku Pulau Lebar  selama empat puluh tahun. Dendam yang memutuskan tali persahabatan  dengan Tok Guru Saleh, teman seperjuangannya dulu. Tok Guru Imran  marahkan Datuk Sagor. Kerananya dia dipenjara selama lima tahun di bawah  tanah. Diseksa zahir dan batin.Hatinya turut marahkan Tok Guru Saleh.  “Saleh terlau pengecut. Pengaruhnya tidak digunakan. Dibiarkannya aku  seorang bertempur dengan bala tentera Sagor. Dia khianat. Dia juga  syaitan macam Sagor,” jerit hati Tok Guru Imran.
 “Darah mereka berdua halal!”
 Dendam itu dipendamkannya. Diatur langkah dan rencana untuk  meletupkannya. Diam-diam selama lima tahun Tok Guru Imran bergerak dalam  istana Sagor. Menabur bakti, menyembunyi kuku dan bisa. Jasa sudah  banyak. Dia dijadikan tangan kanan Datuk Sagor.