Melihat episod demi episod rentetan peristiwa semasa pergolakan politik di Malaysia hari ini dan yang terkini di Perak, membuat kita seakan bermimpi kerana tidak pernah sekalipun mungkin di antara kita yang terfikir hal-hal begini akan berlaku. Pada yang perihatin kepada pergolakan isu semasa ini tentu ada rasa cemas dan rasa sedih kerana melihat pertembungan pendapat dan pertentangan fikiran yang membuahkan bibit-bibit permusuhan dan pergeseran di antara sesama islam. Mengapa berlaku hal yang sedemikian ini?
Pemimpin dan kepimpinan sebenarnya amat mencorak dan mempengaruhi masyarakat yang dipimpin di bawah tanggungjawabnya. Rentak dan budaya masyarakat yang berada di bawah kepimpinanan pemimpin mencerminkan keperibadian sebenar pemimpin tersebut. Dengan kata lainnya, masyarakat dicorak oleh pemimpinnya.
Lihat sahaja di zaman kepimpinan RSAW, masyarakat yang dipimpin oleh RSAW mampu menjadi masyarakat yang dipanggil salafussoleh sehingga 300 tahun lamanya walaupun sesudah baginda wafat. Inilah cerminan kepimpinan yang agung dan patut diambil teladan dan dicontohi sungguh-sungguh oleh masyarakat Islam hari ini. Walaupun RSAW sudah tidak bersama kita lagi, tetapi panduan yang telah beliau tinggalkan kepada kita dan kasihsayang beliau kepada umatnya tetap akan sentiasa menjadi penyegar jiwa kita untuk terus cuba meniru dan mengikuti setiap ajaran yang beliau telah sampaikan.
Pentingnya pemimpin adalah untuk mengajar, mendidik dan memimpin rakyat kepada jalan kebenaran, keadilan, keselamatan dan kebahagiaan hidup yang hakiki dunia dan akhirat. Dengan kata yang lain, pemimpin bertanggungjawab untuk membuat rakyat dan negara aman, makmur dan mendapat keampunan Allah.
Untuk itu, pemimpin bukanlah boleh sebarang orang. Bukan terlantik hasil diundi atau hasil merebut-rebut jawatan atau hasil menonjolkan diri. Pemimpin bukan juga dipilih kerana ada kelulusan atau ijazah. Kelulusan dan ijazah dunia tidak relevan dan bukan syarat untuk menjadi pemimpin. Sebab pemimpin bukan bekerja untuk mendapat-kan rezeki dan tidak juga untuk mencari publisiti. Lebih-lebih lagi bukan untuk mengaut harta dan kekayaan.
Tugas pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan umat di dunia dan di Akhirat. Untuk itu, dia hendaklah orang yang betul-betul boleh membuat kerja tersebut. Dia mesti ada karisma kepimpinan yang Tuhan bekalkan kepadanya, ilmu kepimpinan, watak semula jadi, latar belakang kehidupan dan didikan awal yang sesuai untuk melayakkan dia dapat membawa umat kepada keselamatan dunia dan Akhirat. Kalau dia bukan orangnya dan dia tidak layak, akan rosak umat dan rakyat dikerjakannya. Selamat atau tidak sesebuah negara banyak bergantung kepada pemimpin. Sebab itu, Islam ada menetapkan syarat-syarat dan sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang pemimpin.
Pemerintah yang adil pernah wujud dalam sejarah tetapi banyak yang tidak lama pemerintahannya. Namun ia tidak sebanyak pemerintah yang tidak adil atau zalim. Di antara pemerintah yang adil yang pernah muncul dalam sejarah mengikut ukuran dan nilai Islam ialah Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin, Sayidina Umar Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.
Malangnya kita lihat hari ini, masyarakat seperti hilang punca, bertindak nafsi-nafsi, kasar, keras, pemarah, pendendam, dan sebagainya. Apakah itu memberi kegambaran kepada kita tentang kepincangan kepimpinan yang pemimpinnya terlalu jauh dari mencontohi kepimpinan RSAW? Apakah juga fenomena kekecohan kepolitikan di Malaysia hari ini kerana kita semua sudah melupakan ajaran RSAW dan panduan baginda dan dengan kata lainnya, kita sudah tidak meletakkan Allah SWT sebagai tempat rujuk yang sebenar?
Dalam Islam, pemerintah adalah wakil Allah.
Dalam Islam, pemerintah umum yang tertinggi ini juga disebut khalifah, yakni khalifah Allah. Ertinya pengganti Allah atau wakil Allah di bumi. Mereka bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja yang Allah perintahkan kepada mereka terhadap rakyat. Kerja-kerja ini termasuklah berkhidmat kepada rakyat, memimpin, mendidik, mengajar, mentadbir, mengurus, menyelesaikan masalah rakyat, membangunkan dan memajukan negara dan masyarakat.
Allah mahu hamba-hamba-Nya semua diurus dan ditadbir dengan baik agar mereka semua di dunia ini mendapat layanan dan hak-hak yang sepatutnya mereka dapat dari Allah SWT. Untuk itu segala harta benda, kekayaan dan khazanah perbendaharaan termasuk kekayaan sumber alam semula jadi diserah kepada pemerintah. Supaya mereka agih-agihkannya dengan adil kepada rakyat dan menggunakan sebahagiannya untuk menyediakan serba-serbi keperluan rakyat dan negara. Supaya negara berada di dalam keadaan aman, makmur dan mendapat keampunan Allah seperti dalam firman-Nya:
Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. " (As Saba': 15)
Oleh kerana pemerintah itu adalah pengganti Allah dalam menjalankan keadilan di kalangan manusia, maka Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar taat kepada pemerintah sesudah taat kepada Allah dan kepada Rasul.
Firman Allah Taala:
Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan yang mempunyai kuasa di kalangan kamu. " (An Nisa': 59)
Ketaatan kepada pemerintah, ulil amri atau khalifah yang adil yang benar-benar mewakili atau mengganti Allah untuk mentadbir bumi adalah penting, supaya hukum-hukum Allah yang hendak dijalankan dalam negara dapat berjalan dengan baik. Dan supaya kehidupan hamba-hamba Allah juga dapat diurus dengan baik.
Terhadap mana-mana yang degil dan melawan perintah, dibenarkan pemerintah menghukum mereka demi menjaga dan mengawal kebaikan dalam masyarakat. Dengan syarat kesalahan itu betul-betul kesalahan yang menyalahi syariat dan diiktiraf oleh syariat. Pemerintah tidak boleh gubal hukum dan undang-undang sendiri dengan membelakangkan dan menyalahi undang-undang dan hukum Allah. Jika pemerintah berbuat demikian, maka ia akan jatuh kepada hukum fasiq atau zalim atau kafir. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang fasiq. " (Al Maidah: 47)
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang zalim." (Al Maidah: 45)
Maksudnya: "Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adaiah orang kafir." (Al Maidah: 44)
Kalau pemerintah sudah tidak taat dengan Allah, maka dalam keadaan itu, rakyat tidak lagi wajib taat kepada pemerintah tetapi dalam hal atau perkara yang bertentangan dengan syariat itu sahaja.
Namun dalam hal-hal yang lain yang tidak menyalahi syariat, rakyat wajib terus taat.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiada ketaatan kepada seorang makhluk dalam soal menderhakai Allah."
Pemerintah yang zalim dan tidak adil ialah pemerintah yang mengaut harta negara untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya. Yang tidak memberi bantuan kepada rakyat yang tidak menyokong mereka atau yang mereka anggap sebagai musuh. Yang menyalahertikan tugas dan tanggung jawab kepimpinan dengan menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan. Yang mengambil kesempatan atas amanah rakyat untuk jadi kaya-raya. Yang bekerja bukan untuk kepentingan rakyat jelata dan negara, jauh sekali untuk agama. Yang menindas, menekan, menganiaya, khianat dan berlaku zalim kepada rakyat. Hukuman bagi pemerintah seperti ini sangat berat di Akhirat nanti.
Di waktu ini, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT. agar negara kita yang dicintai ini akan sentiasa di dalam keberkatan dan rahmat Allah SWT dan kita mendoakan juga agar dilahirkan dan disuburkan pemimpin yang benar-benar bertindak sebagai wakil Allah di dalam kepimpinannya.