Wednesday, December 31, 2008

video
Tangisan sanubari telah terhenti
Kala suram suria memancar sinarnya
Pertemuan seindah bayangan firdausi
Menjadi zikir kasih yang suci
Lukisan dua jiwa menjadi satu
Terkenang detik bertemunya kau dan aku
Santun berhikmah mengingatkan diri
Hidup dan mati hanya untuk Ilahi
Mengenggam janji cinta ini
Bertemu kasih tanpa jasad
Bicara tanpa suara
Hanya tulisan bahasa indah
Mengeratkan antara kita
Hinggalah ke akhirnya
Kau ku sanjung kerna pengorbanan
Bagai puteri di kayangan
Tika ku lesu hadapi hidup
Kau hembuskan nafas semangat
Penawar hati

DEMONSTRASI : TERCAPAIKAH MATLAMAT ?


Arus kebangkitan Islam yang melanda dunia ketika ini telah mendatangkan beberapa kesan terhadap umat Islam. Di antaranya ialah bangkitnya semangat dan perasaan anti Yahudi dan Barat yang meluap-luap di kalangan umat Islam, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh pelusuk dunia. Apa saja tindak-tanduk atau dasar atau katakata kaum Yahudi dan Barat yang nampak seperti menindas, menghina atau merugikan umat Islam akan ditentang dan dikecam.


Ini mungkin satu perkembangan yang baik. Ini mungkin menandakan bahawa umat Islam sudah mula cinta pada Islam dan tidak rela lagi melihat Islam itu diapa-apakan. Mungkin juga umat Islam sedunia telah mula memahami akan maksud ayat:


Maksudnya: “Tidak sekali-kali akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada engkau (ya Muhammad) selagi engkau tidak ikut cara hidup mereka.”(surah Al-Baqarah: 120)


Tetapi kita juga dapat perhatikan bahawa semangat ini telah mengakibatkan umat Islam sedunia membuat perkara-perkara yang tidak ada dan tidak diajar di dalam Islam. Semangat ini telah mendorong umat Islam berdemonstrasi dan menunjuk perasaan. Silap saja langkah dan cakap Yahudi atau Barat maka keluarlah umat Islam dengan sepanduk-sepanduk dan slogan-slogan. Berkumandanglah suara-suara mengutuk dan mengecam Yahudi dan Barat. Demonstrasi dimeriahkan pula dengan sorak-sorai dan jerit pekik. Suasana gawat.


Bukan sedikit umat Islam yang keluar berdemonstrasi dan menunjuk perasaan seperti ini. Bukan setakat puluhan, bukan setakat ratusan tetapi menjangkau ribuan dan puluhan ribu. Bukan sahaja yang muda, malah yang tua pun ikut sama. Bukan sahaja yang lelaki, yang perempuan pun tidak mahu ketinggalan. Kadang-kadang demonstrasi ini dibuat setempat. Kadang-kadang berarak ke hulu ke hilir. Kadang-kadang berusuh-rusuh dan berbaling-baling batu.


Apa yang para ‘demonstrasi’ ini telah lupa ialah, demonstrasi dan tunjuk perasaan yang mereka lagang itu bukanlah dari Islam tetapi adalah dari budaya toghut. Islam tidak ada mengajar demonstrasi dalam bentuk yang sebegitu. Di sinilah lemahnya kita. Dari satu segi kita marahkan perbuatan toghut tetapi dari segi yang lain kita pula yang mengamalkan dan mempopularkan apa yang dianjurkan toghut selama ini.


Apa yang ada dalam Islam ialah menunjuk kekuatan supaya musuh gerun dan takut untuk memulakan pergaduhan atau peperangan. Ini jauh berbeza dengan demonstrasi atau menunjuk perasaan.


Cuba bayangkan berapa banyak masa dan tenaga umat Islam telah terbuang dengan sia-sia untuk berdemonstrasi. Kalau 10,000 umat Islam berdemonstrasi selama lima jam maka sudah 50,000 jam usaha manusia (man hours) terbuang yang sepatutnya boleh menyiapkan 10,000 meter jalan raya dua hala. Itu sudah 10 kilometer. Cuba kaitkan pula dengan usaha-usaha untuk membangunkan dan menguatkan Islam secara zahir dan batin. Berapa banyak yang boleh kita buat dan kita capai dengan tenaga dan masa sebanyak itu. Alangkah ruginya kerana semua itu telah dihalakan kepada demonstrasi yang tidak pernah mendatangkan apa-apa kebaikan kepada umat Islam atau perjuangan Islam, dan tidak pernah pula merugikan atau menggugat musuh.


Bukan tenaga dan masa sahaja yang telah disia-siakan. Cuba kirakan belanja dan kos berdemonstrasi. Kalau setiap orang yang berdemonstrasi perlu belanja untuk minyak, tambang dan makan minum sebanyak lima ringgit seorang, maka RM50,000 telah lesap begitu sahaja. Ini belum masuk belanja buat sepanduk dan lain-lain.


Berdemonstrasi dan menunjuk perasaan ini hakikatnya ialah mempamerkan kelemahan diri.


Menunjuk perasaan ialah amalan dan jalan keluar bagi pihak yang lemah kerana tidak mampu atau tidak berani menempuh jalan keluar yang lain yang lebih drastik atau yang lebih mencabar. Itu sebabnya isteri akan tunjuk perasaan kepada suami dengan merajuk. Anak akan tunjuk perasaan kepada ayah dengan membuat kerenah. Murid akan tunjuk perasaan kepada guru dengan ponteng kelas. Mereka tidak ada kuasa. Oleh itu mereka terpaksa bertindak secara pasif untuk menarik perhatian. Kita tidak pernah dengar suami tunjuk perasaan pada isteri atau ayah tunjuk perasaan pada anak ataupun guru tunjuk perasaan pada murid.


Tunjuk perasaan pula hanya akan ada kesannya kalau dihalakan kepada pihak yang bertanggungjawab dan yang ada pertalian kasih sayang dengan kita. Itu sebabnya logik bagi isteri menunjuk perasaan kepada suami, anak tunjuk perasaan kepada ayah atau murid menunjuk perasaan kepada guru.


Seperti kata orang tua-tua, “Merajuk pada yang kasih.” Kalau rakyat menunjuk perasaan kepada kerajaannya sendiri, ini masih boleh diterima terutama kalau kerajaan tersebut berjiwa rakyat dan bertanggungjawab. Kesannya mungkin positif. Tetapi menunjuk perasaan kepada musuh adalah terkeluar dari batas perbuatan yang waras.


Apa bijaknya menunjuk perasaan dan menyatakan perasaan tidak puas hati kita kepada musuh yang memang kerjanya pagi petang, siang dan malam ialah berazam dan mencari jalan untuk menghancurkan dan memusnahkan kita? Apakah musuh akan ambil peduli dan akan memberhentikan usahanya? Tentu tidak! Sekali-kali tidak! Musuh akan bertambah terangsang kalau kita tunjuk perasaan kerana dia tahu jeratnya sudah mengena dan tindakannya sudah tepat. Mangsanya sedang menggelupur kesakitan. Dia akan tersenyum sinis dan akan melipatgandakan lagi usahanya.


Islam tidak suruh berdemonstrasi atau menunjuk-nunjuk perasaan kepada musuh. Islam suruh berstrategi dan bermuslihat. Di kala lemah, Islam suruh kita ambil sikap evasion dan consolidation. Di kala kuat, ambil sikap “Aslim taslam” – Islamlah, kamu untuk selamat.


Seperkara lagi yang harus kita faham, Islam tidak bermusuh dengan Yahudi semata-mata kerana ianya Yahudi. Islam tidak bermusuh dengan Nasrani semata-mata kerana ianya Nasrani. Kita tidak bermusuh dengan individu orang Yahudi atau individu orang Amerika atau individu orang Eropah. Apa yang kita musuhi ialah sifat-sifat yang ada pada Yahudi dan Nasrani itu dan apa yang mereka perjuangkan sebagai satu bangsa dan entiti. Kita musuhi iktiqad dan cara hidup mereka yang hendak mereka paksa ke atas kita.


Kita musuhi nilai mereka. Kita musuhi ideologi mereka. Kita musuhi pemikiran mereka. Kita musuhi budaya mereka. Kita musuhi akhlak mereka dan kita musuhi sekularisme dan sistem-sistem hidup mereka yang mana semuanya itu tersimpang jauh dari jalan yang hak dan yang diredhai Allah. Yang mana semuanya itu akan membawa manusia kepada kesengsaraan di dunia dan di akhirat. Kita juga akan memusuhi siapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat yang sama dan yang memperjuangkan perkara-perkara yang sama walaupun mereka bukan Yahudi atau Nasrani.


Kalau sifat-sifat Yahudi dan Nasrani itu ada pada diri kita maka lebih layaklah kita memerangi diri kita sendiri terlebih dahulu. Berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan ideologi musuh. Berapa ramai orang Islam yang membawa aliran fikiran dan falsafah musuh. Berapa ramai orang Islam yang mengamalkan budaya musuh. Berapa ramai orang Islam yang berakhlak dengan akhlak musuh. Berapa ramai orang Islam yang cara hidupnya sama seperti cara hidup musuh, dan berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan Islam dengan meniru kaedah perjuangan musuh.


Ini yang harus kita fikirkan bersama. Tidak ada makna kita berjaya menumpaskan musuh kalau kita pula akan mewarisi sifat-sifat dan cara hidup mereka. Sifat-sifat yang batil itulah sebenarnya musuh kita dan musuh Islam, bukan sangat Yahudi dan Nasraninya. Sifat-sifat itulah yang hendak kita banteras, dan kita akan tentang siapa sahaja yang mendukung dan melagang sifat-sifat tersebut, hatta diri kita sendiri.


Tuhan cipta manusia berbangsa-bangsa supaya kita saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Tuhan tidak jadikan manusia itu berbangsa-bangsa untuk kita bergaduh dan berperang. Dalam masa yang sama, Tuhan menyuruh kita menentang kekufuran, kezaliman dan kebatilan. Oleh itu, kalau perlu ada penentangan di kalangan manusia, ia mesti diasaskan kepada kekufuran, kezaliman dan kebatilan dan bukan kepada suku bangsa. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan kekufuran, kezaliman dan kebatilan mesti ditentang tidak kira apa bangsanya, sekalipun dia dari kalangan bangsa kita sendiri.


Musuh-musuh Islam terutama Yahudi tahu rahsia di mana kekuatan umat Islam dan di mana kelemahannya. Mereka usahakan untuk mengambil tahu supaya di mana kekuatan itu yang hendak dilemahkan dan juga supaya kelemahan umat Islam itu terus dilemahkan. Sepatutnya rahsia ini cendikiawan Islam yang faham, tetapi mereka nampaknya sudah tidak faham di mana kekuatan umat Islam dan di mana kelemahan mereka. Oleh kerana cendikiawan Islam sudah tidak tahu lagi rahsia kekuatan dan kelemahan umat Islam, bolehlah kita katakan mereka-mereka yang dikatakan arif dengan ilmu Islam sudah tak boleh jadi pemimpin kepada umat Islam, dengan demikian terdedahlah umat Islam kepada bahaya,kepada musuh Islam terutama Yahudi.


Bagaimana orang Yahudi melemahkan umat Islam?


Di antaranya sebahagiannya kita sebutkan di sini untuk difaham.


Yang pertama :


Orang-orang Yahudi menggalakkan maksiat, dengan digalakkan pergaulan bebas di dalam pelbagai saluran,di dalam pendidikan, di dalam kebudayaan, di dalam ekonomi, supaya keturunan umat Islam terdedah kepada penzinaan, supaya keturunan umat Islam rosak. Bila keturunan umat Islam rosak,hidayah Tuhan tidak dapat. Setidak-tidaknya kalau umat Islam sudah asyik berhiburan, mereka akan lalai dengan tanggungjawabnya kepada Tuhan, seperti cuai sembahyang, seperti tidak memikirkan halal dan haram. Keturunan yang lalai itulah akan menikah kahwin melahirkan generasi, sambung menyambung yang akan datang dan melahirkan Generasi yang tidak dipimpin oleh Tuhan,maka akhirnya mereka hidup di dalam kelemahan.


Yang Kedua:


Begitu juga mereka orang-orang Yahudi mengeluarkan produk-produk makanan dan minuman.Di dalam makanan dan minuman itu dimasukkan unsur-unsur sihir, serta makan minum yang tidak halal supayajiwa umat Islam yang sudah rosak tak dapat pimpinan Tuhan, hiduplah mereka sebagai haiwan. Kalau mereka hidup macam haiwan,senanglah mereka mengkotak-katikkan umat Islam. Maka sambung menyambung jugalah generasi umat Islam di dalam kelemahan.


Yang Ketiga:


Begitu juga orang Yahudi merosakkan fikiran umat Islam melalui pendidikan, filem-filem serta bahan-bahan bacaan atau kebudayaan atau melalui ideologi, supaya merosakkan fikiran dan jiwa umat Islam.Kemudian umat Islam itu tak boleh dididik dan disedarkan dan di dalam keadaan itu umat Islam tidak akan kembali kepada Tuhan, dan tidak akan bersatu dan berkasih sayang sesama umat Islam. Kalau mereka berjuang pun tidak mengikut yang dikehendaki oleh Tuhan.


Bila mereka berjuang tidak seperti yang dikehendaki oleh Tuhan, bantuan Tuhan tak datang,tinggallah mereka di dalam kelemahan.


Di waktu itu orang Yahudi mengkotak-katikkan umat Islam yang di dalam kelemahan. Umat Islam hari ini adalah seperti yang kita gambarkan tetapi mereka yang bertanggujawab dalam Islam masih tidak sedar juga di mana titik tolak umat Islam ini hendak diberi kekuatan. Mereka masih tercari-cari, masih terjebak dengan ideologi dan fikiran sekular tajaan Yahudi. Kalau Tuhan tidak menunjukkan seorang pemimpin untuk memimpin umat Islam,maka di masa yang akan datang umat Islam di seluruh dunia akan lebih lagi malang.


Bila umat Islam lalai dengan Tuhan, lahirlah golongan-golongan, yang masing-masing ada watak dan sikap bersendirian. Akibatnya satu golongan dengan satu golongan yang lain tidak dapat disatukan dan di dalam keadaan itu musuh-musuh Islam mengambil peluang. Mereka mengkotak-katikkan umat Islam yang tidak boleh disatukan, maka akhirnya umat Islam termasuk di dalam perangkap musuh. Akhirnya kehinaan pun datang, kehinaan itu berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi sambung menyambung.Walaupun ramai umat Islam di dalam kelemahan macam buih-buih di lautan,watak setiap golongan itu seperti berikut yang akan diceritakan. Di antaranya:


Kalau dia orang politik,jatuh menjatuhkan di antara mereka, fikirannya, kuasa dan jawatan. Mudah untuk mendapat musuh, tetapi mudah juga untuk mendapat kawan. Mudah untuk musuh jadi kawan, dan begitu juga sebaliknya amat mudah kawan menjadi musuh. Keadaan itu jadi budaya di dalam kehidupan.


Kalau golongan ekonomi fikirannya mencari keuntungan dan kekayaan, sekalipun orang lain mendapat kesusahan dan penindasan asalkan apa yang penting dapat diperolehi iaitu wang dan kekayaan.Kalau golongan pendidikan berbangga dengan ilmu pula, dengan ilmunya untuk mendapat jawatan supaya hidup lumayan. Kemudian megah pun datang dan hidup nafsi-nafsi menjadi budaya, masing-masing hidup cara sendiri.


Kalau golongan artis dan budayawan kerana mencari makan mereka buat filem tanpa mengira hasil dari filem-filem itu merosakan orang ramai. Yang penting ialah mereka menjadi popular dan dapat glamour, dapat duit senang makan. Senang dapat rumah besar dan kenderaan mewah, walaupun kegiatan mereka itu merosakkan sehingga akhlak orang ramai bercanggah dengan syariat Islam.


Kalau golongan buruh pula mereka asyik fikirkan kenaikan gaji.Kalau menuntut dengan majikan mereka sanggup demonstrasi kerana kenaikan gaji, tidak fikir zaman inflasi. Yang penting majikan naikkan gaji.


Kalau orang-orang agama pula mereka asyik sibuk dengan motivasi dan dakwah, bukan kerana Allah tetapi hendak hidup mewah. Orang biasa menyangka mereka berjuang untuk fisabilillah, tetapi yang sebenarnya mereka berjuang untuk hidup mewah.Begitu jugalah golongan-golongan lain yang kita tidak sebutkan, mereka masing-masing ada watak dan gaya hidup yang bersendirian. Kita boleh carilah sendiri tidak payahlah diberitahu disini, kita akan tahu sendiri.


Begitulah umat Islam sudah tak fikirkan Tuhan,watak dan sikap tidak boleh disatukan. Masing-masing golongan ada watak dan hidupnya yang tersendiri. Itulah yang berlaku kepada umat Islam di hari ini dan hendak dibetulkan semula semua ini kita memerlukan seorang pemimpin yang ada wibawa,yang boleh menyatukan semua golongan itu.

Saturday, December 27, 2008

UMNO perlu pemimpin pelapis berkualiti

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dengan pelbagai polemik politik dan ekonomi yang sedang melanda negara, memulihkan keyakinan rakyat terhadap barisan kepimpinan UMNO merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dipandang semberono. Kegagalan UMNO menangani krisis keyakinan terhadap barisan kepemimpinan di semua peringkat hanya akan mengundang kecelakaan yang lebih besar.

Apa yang pasti realiti politik hari ini sudah banyak berubah. Kalau dulu pengundi memilih parti tanpa begitu melihat siapa yang mewakili parti, namun hari ini walaupun parti masih lagi penting tetapi siapa yang mewakili parti itu lebih penting dan mendapat lebih perhatian oleh para pengundi.

Fenomena sebegini amat terkait dengan tahap pendidikan rakyat yang semakin meningkat dan realiti dunia hari ini yang tidak lagi mengenal erti sempadan dan batasan. Sebab itulah jika dilihat senario pilihan raya dan perkembangan parti-parti politik pembangkang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya amat menumpukan kepada program pengkaderan atau agenda mempersiapkan golongan pelapis yang terdiri daripada orang muda dan golongan profesional.

Seolah-olah mereka ingin menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa parti pembangkang sudah bersedia merubah imej baru dengan menampilkan barisan kepimpinan dan calon-calon parti yang terdiri daripada orang muda dan berpendidikan tinggi di samping pimpinan tradisional yang sedia ada dalam hirarki parti. Ini juga dilihat sebagai usaha meyakinkan pengundi bahawa calon parti pembangkang kini bukan sahaja berkebolehan tetapi juga berpengetahuan tinggi.

Perjuangan
Memang kesinambungan perjuangan mana-mana parti politik amat bergantung kepada sejauh mana keberkesanan program pengkaderan atau agenda mempersiapkan generasi pewaris kepimpinan. Sebaliknya kegagalan mempersiapkan generasi pelanjut perjuangan hanya akan mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.

Sebab itulah isu pemilihan kepimpinan UMNO kini menjadi tumpuan ramai. Rakyat hakikatnya sedang menilai sejauh mana UMNO mampu menampilkan pemimpin-pemimpin pewaris baru yang berkualiti sekaligus berkeupayaan menangani krisis keyakinan terhadap kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Hakikat yang harus disedari secara objektif, rakyat hari ini semakin meluat dan cemuh dengan fenomena perebutan kuasa yang tampak semakin berleluasa di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat. Seolah-olah parti bukan lagi tempat untuk berbudi tapi wahana memperkaya diri.

Berlakunya sedemikian kerana amanah kepimpinan dan jawatan parti tidak lagi difahami sebagai satu taklif atau beban tanggungjawab tetapi ditanggapi sebagai tasyrif atau satu bentuk kemuliaan dan kemasyhuran. Penyimpangan pemikiran inilah yang akhirnya menyebabkan ramai sanggup membelanjakan wang yang banyak dan merasuah dalam pelbagai bentuk hanya untuk mendapatkan jawatan parti.

Ada juga yang menganggapnya sebagai satu bentuk pelaburan kerana jawatan parti adalah lesen besar bagi mendapatkan projek-projek yang boleh membawa pulangan berganda. Biasanya jika pemimpin sebegini yang terpilih, penumpuan tidak lagi untuk berbakti dan menabur budi tetapi lebih sibuk menjaja jawatan dan melobi projek bagi memperkayakan diri dan kroni.

Natijahnya pemimpin yang terpilih bukan lagi dinilai kepada kewibawaan ilmu dan ketrampilan peribadinya tetapi kepada berapa banyak wang yang telah ditaburnya. Sebab itulah orang bodoh hatta penyangak sekalipun boleh terpilih memegang jawatan parti kerana amanah parti sudah boleh dijual-beli. Budaya ini jika tidak dibendung akan menjadi barah yang mampu menghancurkan parti secara senyap.

Akhirnya golongan baru yang dipilih untuk mengurus urusan dan permasalahan rakyat bukan lagi di kalangan cerdik-pandai dan berkeperibadian tinggi tetapi golongan penyangak yang bankrap akhlak dan akal-budi. Inilah golongan yang diistilahkan Nabi SAW sebagai 'Al-Ruwaibidhoh' iaitu golongan yang tidak berkualiti tetapi diangkat untuk mengurus permasalahan umat.

Pengkhianat
Sabda baginda SAW: Sesungguhnya sebelum kiamat datangnya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu pendusta dianggap benar, sebaliknya yang jujur dikatakan dusta, pengkhianat dianggap amanah, manakala orang yang amanah dikatakan pengkhianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)." (Riwayat al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim)

Hakikat ini jugalah yang pernah diisyaratkan Rasulullah SAW. ketika bersabda bahawa apabila amanah sudah hilang, tunggu sahajalah saat keruntuhannya. Ketika ditanya sahabat bagaimana amanah boleh hilang, baginda menjawab: Apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak (riwayat Bukhari).

Apa yang dimaksudkan dengan kelayakan di sini tentulah bukan sekali-kali diukur kepada berapa banyak wang-ringgit yang ditaburnya. Atau berapa banyak pemberian hadiah seperti gelang magnetik yang diagih-agihkan di kalangan perwakilan. Sebaliknya kelayakan kepimpinan sebagaimana tuntutan Islam tentunya mengutamakan kekuatan agama, kewibawaan ilmu dan ketinggian akhlak peribadi yang akhirnya boleh menjadi tempat bergantung orang ramai.
Justeru, penulis amat berharap berlakunya perubahan dalam budaya pemilihan UMNO kali ini. Demi kelangsungan perjuangan parti, para perwakilan harus menggunakan kesempatan sepenuhnya untuk melakukan anjakan pemikiran dalam memilih pemimpin yang benar-benar berkualiti. Pada masa yang sama para perwakilan juga mesti bersedia menolak pemimpin-pemimpin yang menggunakan rasuah untuk mendapatkan jawatan.

Amat malanglah jika pemimpin yang dipilih kelak hanya semata-mata bermodalkan harta dan bukanlah kerana ilmu dan ketajaman minda yang mampu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat. Amat malang lagi jika penyangak dan pengkhianat parti yang diangkat sebagai pemimpin manakala yang berpengetahuan agama dan berkarisma di kesamping malah dipinggirkan oleh perwakilan.

Apa yang lebih merunsingkan penulis andainya para pemuda UMNO sebagai generasi pewaris turut terikut-ikut dengan kecelaruan budaya politik sebegini hingga tercabutnya idealisme perjuangan yang sejati. Pemikiran bahawa perjuangan politik merupakan kerjaya cari makan atau wahana mengejar kemewahan tidak lagi relevan dan mesti dihapuskan demi memastikan UMNO kembali kuat dan mendapat tempat di hati rakyat. Moga-moga cita-cita besar ini mampu direalisasikan dan diberkati Allah jua.

Pilihlah Pemimpin Berasaskan Kualiti Bukan Duit

Nampaknya pemilihan untuk jawatan tertinggi parti semakin hangat dan rancak. Semua maklum bahawa barisan kepemimpinan UMNO yang akan ditentukan Mac ini akan mencorakkan senario dan lanskap politik negara masa depan. Umpamanya siapa yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO, secara tradisi akan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri atau Orang No.2 paling berkuasa dalam negara. Begitulah seterusnya dengan jawatan2 lain seperti Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dll.

Cuma kebimbangan paling besar bagi penulis sekiranya budaya rasuah yang begitu mengakar dalam UMNO ketika ini akan terus menjalar dan mendominasi corak pemilihan kepemimpinan. Kalau melihat jumlah perwakilan sekitar 2500 orang, seorang calon hanya perlu membelanjakan RM5 juta jika setiap perwakilan hendak disuap RM2000 seorang. Nilai RM5 juta bagi orang biasa mungkin terlalu banyak, tapi untuk golongan oportunis yang mendambakan mahkota kuasa jumlah sedemikian tidak seberapa. Bahkan ada juga ‘dermawan2′ dari kalangan golongan korporat yg sudah bersedia untuk sponsor calon2 tertentu sebagai satu bentuk pelaburan.
Apa yang pasti kalau beginilah corak pemimpin yang akan diangkat menerajui parti, tidak mustahil UMNO akan hancur dan bakal ditolak secara total oleh rakyat dalam pilihanraya akan datang. Seharusnya pemimpin yang akan dipilih kelak harus berasaskan kepada kualiti kepimpinan sebagaimana tuntutan wahyu Ilahi.

Justeru, penulis berharap para perwakilan dapat menggunakan pertimbangan akal-budi dan bukannya emosi kebinatangan dalam memilih pemimpin kelak. Janganlah digadaikan prinsip agama hanya kerana wang-ringgit. Janganlah dipertaruhkan masa depan umat hanya untuk kesenangan sementara yang tiada keberkatan. Sesungguhnya duit yang diperolehi daripada sumber yang haram tidak sekali-kali dapat memberikan kebahagiaan bahkan malapetaka yang akan menimpa.

Moga-moga barisan pemimpin yang bakal diangkat menerajui UMNO kelak adalah barisan yang berkualiti dan benar-benar menjiwai hati naluri rakyat.